GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Pasukan mencari dan menyelamat bomba sedang berusaha keras mengesan seorang lelaki yang dipercayai tertimbus dalam sebuah lubang ketika melombong emas secara haram bersama dua rakannya di Gunung Tabai di Bau, kira-kira 40 kilometer dari sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima pada 9.10 pagi, tiga lelaki dikatakan terperangkap dalam lubang semasa mereka melombong emas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, dua daripada mereka diselamatkan, namun seorang lagi yang dipercayai tertimbus, masih gagal dikesan.

"Sehingga kini operasi menyelamat masih dijalankan, dan pasukan penyelamat sedang berusaha mencari akses lain untuk masuk ke dalam lubang yang dikatakan tempat dia tertimbus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khirudin berkata, operasi menyelamat sangat berisiko ekoran struktur persekitaran yang tidak stabil di kawasan itu, dengan keadaan lubang digali secara bertingkat dan terlalu dalam, menjangkau 80 hingga 90 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 7:19 PM