Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat ditutup selama sebulan dari 1 hingga 31 Disember bagi kerja penyelenggaraan pejabat oleh pihak kontraktor.

JPN dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun, JPN UTC Keramat masih beroperasi di kaunter sementara di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) UTC Keramat, khusus untuk beberapa urusan permohonan.

"Ia termasuk gantian kad pengenalan sama ada biasa, hilang, cip rosak dan kemas kini cip; cabutan sijil kelahiran; cabutan sijil kematian dan serahan kad pengenalan siap.

"Sehubungan itu, bagi kemudahan dan penyampaian perkhidmatan yang berterusan, JPN di Kuala Lumpur akan memanjangkan waktu operasi,"katanya.

Katanya, orang ramai boleh mengunjungi JPN berhampiran termasuk di JPN KL di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Sri Hartamas 1; JPN cawangan UTC Kuala Lumpur, Wisma UTC Jalan Pudu (Pudu Sentral) dan JPN cawangan UTC Sentul, Kompleks Bandar Baru Sentul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 6:31 PM