GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Semua urusan kaunter di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditangguhkan sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang bermula esok.

JPN dalam kenyataan hari ini menyatakan, bagi pelanggan yang mempunyai janji temu dalam tempoh sekatan itu, mereka boleh menghubungi JPN bagi penjadualan semula tarikh berkenaan.

"Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian JPN, untuk memohon dokumen yang diperlukan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan JPN itu menjelaskan, pengecualian diberikan bagi urusan kes kecemasan seperti gantian MyKad rosak atau hilang bagi kes kecemasan, seperti urusan bank dan rawatan perubatan dan sijil kematian untuk prosedur penghantaran pulang jenazah warga asing yang meninggal dunia di Malaysia ke negara asal.

Kes kecemasan turut dibenarkan ialah sijil kelahiran (pendaftaran baharu atau cabutan) bagi tujuan rawatan perubatan dan sijil kelahiran (pendaftaran baharu atau cabutan) anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia, bagi tujuan prosedur membawa pulang kanak-kanak berkenaan ke negara asal.

Bagi upacara perkahwinan di pejabat JPN dan rumah ibadat kenyataan itu menyatakan, urusan berkenaan turut ditangguhkan sehingga tamat tempoh sekatan kecuali kes kecemasan yang memerlukan upacara dibuat segera, seperti tarikh upacara yang akan tamat tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan.

Sebarang pertanyaan, permohonan mendesak atau kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPN atau e-mel pertanyaan ke [email protected].

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:26 PM