FOTO Noor Hidayah Tanzizi
FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Tiga beranak antara 14 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung dalam Ops Cegah Dadah, malam tadi.

Suami isteri 53 dan 39 tahun itu ditahan bersama anak lelaki 16 tahun yang sudah tidak bersekolah, pada 9.30 malam.

Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam, berkata tiga sekeluarga itu ditahan ketika sedang khayal di pusat snuker di Taman Samudera yang juga tempat kerja ketua keluarga itu.

“Kami juga membuat serbuan di sebuah 'port' penagihan dadah di Lekir. Kami tahan 11 individu termasuk seorang wanita.

"Semua ditahan berusia 16 hingga 54 tahun dan ketika itu semua mereka sedang khayal,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, semua yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan pihaknya turut mengesan dua individu yang didapati melanggar syarat pengawasan.

"Dua individu berkenaan didapati melanggar syarat pengawasan dan mereka ditahan mengikut Seksyen 6(2) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 11:00 AM