Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan Qunut Nazilah di masjid utamanya iaitu Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Jumaat ini bagi mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam Rohingya.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, Qunut Nazilah turut diadakan di semua masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"JAKIM juga memohon kerjasama dan jasa baik pihak Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara untuk meminta semua masjid di negeri masing-masing turut sama mengadakan Qunut Nazilah pada tarikh berkenaan.

"Sehubungan itu, JAKIM menyeru kepada semua pihak bersamakita memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya masalah dihadapi masyarakat Islam Rohingya akan dapat diselesaikan dengan kadar segera selain mampu untuk menjalankan aktiviti harian dengan lebih lancar dan sempurna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Qunut nazilah adalah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut Mazhab Syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan.

Katanya, Qunut Nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan dan ditimpa wabak dan ia tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan seperti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 11:05 AM