AMYSHAKILA Rahman, 20, (tengah) berkongsi kegembiraan bersama ibubapnya, Siti Merah Tinong, 51, dan Rahman Chang, 53. FOTO Rasul Azli Samad
AMYSHAKILA Rahman, 20, (tengah) berkongsi kegembiraan bersama ibubapnya, Siti Merah Tinong, 51, dan Rahman Chang, 53. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi


Melaka: "Saya mahu buktikan Orang Asli tidak lagi hanya duduk di kampung dengan meneruskan tradisi kami tetapi boleh mempunyai kerjaya lebih baik seperti orang lain.”

Itu kata pelatih kursus asas Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amyshakila Rahman, 20.

Anak jati Kuala Krau, Temerloh, Pahang, berkata terpilih untuk menyarung seragam JPJ membuatkan dia berasa amat bertuah walaupun cita-cita sebenarnya adalah menjadi pendidik.

Menurutnya, menjadi individu pertama daripada suku kaum Jahut bergelar anggota JPJ membuatkan dia berjanji untuk memberikan perkhidmatan cemerlang dan bersedia memikul tanggungjawab diamanahkan jabatan itu.

"Mungkin sudah tertulis rezeki saya dengan JPJ kerana sebelum ini tiga kali mencuba nasib temu duga ke Institusi Pendidikan Guru (IPG) tetapi gagal. Sebaliknya untuk mengikuti kursus asas ini hanya sekali memohon saya sudah diterima.

"Peluang berkhidmat dengan JPJ secara tidak langsung dapat menghakis persepsi orang ramai menganggap masyarakat Orang Asli masih berada dalam kepompong kami sendiri.

"Tanggapan itu salah kerana ramai dalam kalangan masyarakat kami sudah berjaya dan berjaya dalam pelbagai bidang," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Kursus Asas JPJ di Akademi JPJ, Tiang Dua, di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu, berkata abangnya berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala kakak kembar pula sedang mengikuti latihan jururawat di sebuah kolej di negara ini.

Amyshakila berkata, selepas dua bulan mengikuti kursus persediaan, dia sudah tidak sabar memulakan tugas selain sedia jika dihantar bertugas jauh dari kampung halamannya.

Sementara itu, penerima Anugerah Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga peserta keseluruhan terbaik Muhammad Zainal Abidin Yusoff, 26, berkata, bertugas sebagai wardar penjara sebelum terpilih mengikuti kursus Penolong Pegawai Penguat Kuasa memberikan dua pengalaman kerja berbeza.

Muhammad Zainal berkata, sebelum ini tugas hariannya memantau banduan menjalani hukuman tetapi sekarang dia akan berhadapan dengan pengguna jalan raya melakukan kesalahan.

"Sebagai anggota penguat kuasa, saya perlu mempunyai sikap hormat dan menggunakan budi bicara ketika berurusan dengan pesalah trafik, barulah mereka menerima teguran dengan baik.

"Saya sedar, bakal berhadapan pelbagai risiko dengan memegang jawatan ini tetapi itu bulan penghalang untuk saya laksanakan tugas diamanahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:02 PM