RONO diharap mampu lahir lebih ramai atlet  berkualiti.
RONO diharap mampu lahir lebih ramai atlet berkualiti.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kehadiran jurulatih berpengalaman dari Kenya Samuel Kipsang Rono diharapkan mampu mengubah landskap olahraga negara yang semakin ketandusan atlet jarak jauh dan sederhana.

Namun, Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan tidak dianggap waktu tepat untuk menilai kemampuan Rono menghasilkan pengganti M Ramachandran dan P Jayanthi kerana baru memulakan tugas pada 7 Mac lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan Rono masih diperlukan untuk mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan.

“MSN yakin Rono boleh menghasilkan sesuatu membanggakan, namun beliau sudah tentu memerlukan masa dan Sukan SEA bukan waktu yang sesuai untuk menilai tahap kemampuannya.

“Beliau perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem latihan, keadaan persekitaran dan sebagainya.

“Jadi, kami akan melihat dulu bagaimana perkembangannya dan hanya selepas itu baru merangka langkah seterusnya termasuk KPI,” katanya.

Shapawi berkata, pelantikan Rono adalah untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar Sukan SEA Kuala Lumpur dengan kontraknya akan dilanjutkan setiap dua tahun.

Sukan olahraga negara boleh disifatkan berada dalam keadaan tenat apabila kontinjen negara sekadar meraih tiga pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa pada Sukan SEA edisi ke-28 di Singapura lalu.

Ketiga-tiga emas itu hadir dalam acara padang menerusi Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

Justeru, kehadiran Rono yang juga jurulatih berpengaruh di Kenya dan bertanggungjawab membantu negara itu meraih emas menerusi Noah Ngeny bagi acara 1,500 meter Sukan Olimpik 2000 dan Benjamin Limo (5,000 meter) pada Kejohanan Dunia 2005, diharap mampu mewarnai kembalai arena olahraga negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:41 AM