Ahmad Zahid. FOTO NSTP
Ahmad Zahid. FOTO NSTP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pendidikan Agama Islam yang bersidang hari ini memutuskan lima perkara bagi memastikan kelangsungan Pendidikan Agama Islam selari dan memenuhi keperluan arus perdana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat yang dipengerusikan beliau turut dihadiri Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya, perkara diputuskan termasuk membangunkan Program Asas Persediaan Bahasa Arab untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Timur Tengah serta melaksanakan Ujian Kelayakan Bahasa Arab di negara ini.

"Selain itu, syarat memasuki Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama diperluaskan bagi memberi peluang kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dari Sekolah Rendah Agama Negeri dan Sekolah Rendah Agama Rakyat untuk memohon dan belajar di sekolah berkenaan.

"Memberi kelulusan khas kepada pemegang Ijazah Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Mesir lepasan Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong Kelantan sebagai Ijazah Pertama Pengajian Tahfiz mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju menyemak semula syarat minimum A- kepada B untuk subjek Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat kelayakan untuk pelajar memohon dan memasuki universiti awam di Jordan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 5:15 PM