MANGSA yang tercampak akibat dilanggar komuter. FOTO ihsan Polis
MANGSA yang tercampak akibat dilanggar komuter. FOTO ihsan Polis
Yahya Awang


Taiping: Lelaki dipercayai etnik Rohingya maut selepas dilanggar komuter di Kilometer 84.25 arah utara dekat Changkat Larah, Kamunting, 9.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis bantuan Keretapi Tanah Melayu (KTM) memaklumkan kejadian itu.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati komuter yang bertolak dari Padang Rengas, Kuala Kangsar menuju ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 8.45 pagi.

"Setiba di lokasi pemandu komuter ternampak seorang lelaki melalui tepi landasan dan membunyikan hon amaran namun tidak diendahkan individu itu yang dipercayai berjalan di tepi rel menghala ke utara.

"Lelaki berusia lingkungan 40-yang memakai kain pelikat dan berbaju T berkenaan tercampak kira-kira tiga meter dari landasan ke longkang berhampiran dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, kaki dan tangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa warganegara asing dipercayai etnik Rohingya dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 3:30 PM