Penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan. FOTO Yahya Awang
Penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan. FOTO Yahya Awang
Yahya Awang


Taiping: Seramai 67 penduduk di sekitar Kamunting dan Batu Kurau, di sini, masih ditempatkan di beberapa pusat pemindahan berikutan banjir kilat malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Datuk Kamarudin Awang berkata, mereka antara 161 mangsa daripada 51 keluarga yang dipindahkan berikutan kejadian itu.

Kamarudin yang juga Pegawai Daerah LMS berkata, sehingga jam 11 pagi tadi, dua daripada lima pusat pemindahan sudah ditutup.

"Pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jana, Kamunting yang menempatkan 83 orang daripada 24 keluarga dari Kampung Sungai Relung, ditutup jam 8.45 pagi.

"Pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kampung Pinang Seberang yang menempatkan 11 mangsa dari kampung itu pula ditutup jam 9.15 pagi," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Kamarudin berkata, tiga lagi pusat pemindahan iaitu Dewan Orang Ramai Changkat Larah, Dewan Orang Ramai Simpang Halt dan Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang masih beroperasi dan jumlah mangsa kekal dengan 67 orang di situ.

Katanya, pusat pemindahan di Changkat Larah turut menempatkan mangsa dari Batu 13 dan 14 di Pondok Kuin, Batu Kurau.

Beliau berkata, usaha memindahkan mangsa banjir dilakukan sehingga jam 2 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 1:59 PM