1 Oktober 1996, seorang jurulatih Perancis yang kurang dikenali, Arsene Wenger diperke­nalkan sebagai pengurus baru Arsenal. Pelantikannya diterima dengan pelbagai reaksi hinggakan ada media yang mempersoal kredibilitinya.

Namun selepas 18 tahun, dia berjaya memberikan tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, lima Piala FA dan mara ke final Liga Juara-Juara dan pastinya sumbangan 18 pemain terhebat sepanjang tempoh kendaliannya tidak harus diketepikan.

Dennis Bergkamp

Pemain Belanda itu sudah pun berada di Highbury sewaktu ketibaan Wenger dan pengurus Perancis itu me­ngubahnya menjadi penyerang berpengaruh. Bergkamp menyumbang gol yang paling diingati. Siapa boleh melupakan hatriknya di Leicester City atau aksi pirouette di Newcastle. Dia cemerlang sepanjang sedekad di kelab itu apabila menjaringkan 120 gol dalam 423 perlawanan.

Thierry Henry

Pemain Perancis itu bermain di bawah kendalian Wenger di Monaco dan kembali bersatu apabila dia dibeli pada harga £11 juta (RM57.8 juta) pada Ogos 1999. Henry segera meletakkan dirinya sebagai penyerang bertaraf dunia dan juga legenda kelab itu apabila menjaringkan 92 gol dan membantu mereka menjuarai Liga Perdana Ing­geris pada 2002 dan 2004. Dia juga terpilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan Pemain PFA berturut-turut.

Patrick Vieira

Sebagai tonggak kepercayaan Wenger sepanjang musim kegemilangan, tidak syak lagi Vieira adalah antara pemain tengah terbaik era moden ini dan menjulang beberapa trofi. Tidak pernah gentar melakukan terjahan dan membantu kejayaan Arsenal dalam banyak perlawanan penting sepanjang sembilan tahun bersama kelab itu.

Nicolas Anelka

Memandangkan Anelka menyertai Gunners pada usia 17 tahun dengan harga hanya £500,000 (RM2.6 juta), 28 gol sumbangan­nya selain gelaran Liga Perdana Inggeris dan Piala FA, ia tidaklah terlalu teruk. Meskipun tempohnya di Highbury tidak panjang selain berdepan beberapa kontroversi, dia masih seorang penjaring prolifik buat Gunners ketika itu.

Emmanuel Petit

Seorang lagi bekas pemain Wenger di Monaco, Petit tiba di kelab itu pada 1997 dengan harga £2.5 juta (RM13.2 juta). ia ternyata pembelian berbaloi memandangkan aksi konsistennya membantu Arsenal menjulang dua gelaran pada 1998 dan membentuk gandingan berbisa dengan Vieira.

Marc Overmars

Pemain Belanda yang tangkas ini adalah penggerak utama terhadap kejuaraan berganda Arsenal dan menjaring­kan gol penting di Old Trafford yang mengubah haluan perlawanan. Dia menyumbang 40 gol keseluruhan buat Gunners, satu jumlah yang baik buat seorang pemain sayap dan digeruni pertahanan lawan.

Tony Adams

Pemain setia, Adams menjadi sebahagian daripada skuad di Highbury sebelum ketibaan Wenger tetapi pe­ngurus itu memberi lima lagi musim buat pemain berusia 30 tahun itu. Dia menjadi kapten kepada skuad yang menjulang kejuaraan berganda pada 1998 dan 2002, meletakkan dirinya sebagai antara legenda kelab itu dengan karier sepanjang tiga dekad.

Martin Keown

Seorang daripada benteng pertahanan Arsenal pada 1990-an, Keown sebenarnya kurang diberi perhatian pada 1998 apabila hanya beraksi dalam 18 pelawanan. Namun dia berjaya mendapatkan tempatnya kembali dan menjadi watak penting untuk beberapa musim berikut­nya, menamatkan kariernya dengan kejuaraan bersama skuad 'Invincibles'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:00 AM