WENGER meluahkan isi hatinya. FOTO Agensi
WENGER meluahkan isi hatinya. FOTO Agensi
Agensi

London: Arsene Wenger berkongsi keperitan pengundurannya selaku pengurus Arsenal selepas 22 tahun dengan menggambarkan penamat eranya 'seperti majlis pengebumian'.

Bercakap di dokumentari terbaru mengenai dua dekad membimbing kelab di Highbury dan Stadium Emirates Stadium, Wenger berkongsi perasaannya ketika meninggalkan kelab yang masih disayanginya.

Selepas tiga gelaran Liga Perdana, tujuh kejuaraan Piala FA dan penampilan di final Liga Juara-Juara, kelab yang mendapat gelaran 'Invincibles' kerana melalui tempoh semusim tanpa kekalahan, Wenger meletak jawatan pada Mei 2018 selepas menerima tekanan hebat.

"Anda sedar pada akhirnya ia seperti majlis 'pengebumian'," kata pengendali berusia 71 tahun itu.

Di sebalik membantu Arsenal meraih kejayaan dan Gunners terus layak beraksi di Liga Juara-Juara sehingga 2017, suasana di sekeliling bekas pengurus itu tidak seperti diharapkan dan ungkapan 'Wenger keluar' sering disebut penyokong kelab itu.

Sejak itu, Wenger menegaskan beliau mahu meninggalkan Arsenal dan setiap keputusan dilakukannya adalah demi kebaikan kelab itu.

Beliau menggambarkan layanan terhadapnya ketika di hujung kariernya sebagai kasar, keras dan kejam.

Bagaimanapun bekas anak buahnya, Dennis Bergkamp berkata, Wenger kekal terlalu lama sehingga menyebabkan pengurusan Arsenal tidak mempunyai banyak pilihan.

"Adalah lebih mudah jika dia membuat keputusan lebih awal," katanya yang menjaringkan 111 gol sepanjang 408 penampilan bersama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 9:24 PM