TAN memberi penerangan mengenai kebaikan kismis.
TAN memberi penerangan mengenai kebaikan kismis.
KISMIS mengandungi banyak khasiat.
KISMIS mengandungi banyak khasiat.
Faizatul Farlin Farush Khan


Kismis adalah anggur yang dikeringkan dan kaya dengan sumber tenaga, vitamin, elektrolit serta mineral semula jadi. Lebih menarik, ia mempunyai jumlah serat, vitamin, mineral dan antioksidan jauh lebih tinggi berbanding anggur segar.

Walaupun kering, ia mengekalkan rasa manis semula jadi dan setiap 100 gram kismis hanya mempunyai 249 kalori, sesuai untuk mereka yang menjaga pemakanan dan mengawal berat badan.

Sama seperti anggur, kismis mengandungi sejenis bahan fitokimia dipanggil resveratrol iaitu sejenis antioksidan yang memiliki sifat antiradang dan antikanser selain mampu menurunkan kandungan kolesterol dalam darah.

Kajian mendapati resveratrol mampu melindungi tubuh daripada kanser kulit, kolon dan prostat selain membantu menjaga kesihatan jantung, melindungi dari masalah kemerosotan fungsi saraf, strok, Alzheimer dan jangkitan kulat atau virus.

Kismis yang dihasilkan daripada anggur berwarna merah dan ungu memiliki kandungan antioksidan lebih tinggi. Pada masa sama, kandungan seratnya yang tinggi membantu memenuhi keperluan serat dalam diet setiap hari seterusnya boleh membantu menurunkan berat badan dan melindungi daripada masalah sembelit.

Setiap hari kira-kira 20 hingga 35 gram serat diperlukan untuk memastikan tubuh berfungsi pada tahap optimum dan ia boleh diperoleh melalui kismis.

Pakar Pemakanan Klinikal Pusat Perubatan Tropicana Tan Yen Sing berkata, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, menunjukkan 17.5 peratus penduduk di negara ini menghidap diabetes.

Katanya, ia adalah angka yang tinggi dan menjadi petunjuk kepada gaya hidup tidak sihat di negara ini.

“Di Malaysia, dalam kalangan pesakit diabetes, 59 peratus daripadanya kini berada pada tahap terakhir masalah buah pinggang yang diakibatkan oleh penyakit itu.

“Serat penting dalam memastikan kandungan gula dalam darah stabil dan kismis adalah sejenis makanan yang tinggi dengan serat.

“Kismis juga baik untuk kesihatan jantung dan jika kita lihat pada fakta kesihatan di seluruh dunia, penyakit jantung antara penyebab utama kematian.

“Seramai 17.5 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular pada 2005 iaitu 30 peratus daripada punca kematian seluruh dunia,” katanya pada acara berkenaan.

Acara itu selari dalam usaha menggalakkan pemakanan sihat dan menunjukkan demonstrasi penggunaan kismis khususnya California Raisins dalam pemakanan dan menu setiap hari.

Tan berkata, kajian juga menunjukkan peningkatan pengambilan buahan dan sayuran lebih daripada lima sajian setiap hari mempunyai kaitan rapat dengan penurunan sebanyak 17 peratus bagi penyakit jantung koronari.

Katanya, khasiat daripada makanan berkualiti adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit kronik dan menjadi lebih sihat.

“Kismis, meskipun kecil, tidak harus dipandang ringan atas manfaat kesihatannya. Ia adalah hidangan yang sihat dengan gula semula jadi dan juga pengganti gula untuk kebanyakan resipi dalam pelbagai hidangan.

“Lebih menarik, kandungan antioksidan yang tinggi dalam kismis boleh membantu diri lebih awet muda dan menjaga penglihatan, menjaga kesihatan perut, saluran kencing dan melawan masalah gusi serta gigi,” katanya.

Kebaikan kismis

1. Bebas daripada toksin gluten dan boleh dimakan sebagai alternatif bagi mereka yang tidak boleh bertoleransi terhadap gluten.

2. Kaya dengan kalsium, zat besi, mangan, magnesium, fluoride dan zink.

3. Mengandungi elektrolit dan potasium yang mampu menurunkan kesan sodium, menurunkan tekanan darah dan mengelak strok serta masalah jantung.

4. Memiliki vitamin B kompleks.

5. Boleh dinikmati sebagai snek tanpa merosakkan kesihatan.

6. Boleh dimakan bersama apa saja hidangan termasuk salad, pencuci mulut dan dicampurkan dalam masakan.

7. Menjadi pengganti gula dalam penyediaan bakeri dan coklat.

8. Popular di negara Iran, India, Pakistan dan selatan Asia dalam hidangan pencuci mulut.

9. Tiada lemak, sodium dan kolesterol.

10. Mengandungi fruktos iaitu gula semula jadi yang mudah dihadam untuk memberi tenaga yang cepat.

11. Kaya dengan serat dan menjadi sumber tenaga berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 1:27 PM