Mohamed Farid Noh


SEKTOR pelancongan domestik Malaysia kekal selamat untuk dilawati walaupun berlaku peningkatan kes penularan wabak Covid-19 di utara tanah air.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia berikutan disiplin tinggi rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketika melancong dalam negara.

"SOP kita juga masih lagi ketat malah rakyat yang melancong juga bertindak seperti barisan hadapan dengan mematuhi SOP ditetapkan dan sangat berdisiplin.

"Kes positif Covid-19 di negara kita juga terkawal dan tidak tinggi seperti negara lain.

"Jadi, destinasi pelancongan di Malaysia masih kekal selamat untuk dilawati setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau sektor pelancongan Desaru, Johor, hari ini.

Sehingga kini, Kedah mencatatkan empat kluster Covid-19 membabitkan Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Muda dan Kluster Sala di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim, Baling, Kuala Muda dan Yan.

Sementara itu, Nancy menyarankan pengusaha hotel bajet yang terjejas mengadakan perbincangan bersama bagi mencari jalan menarik semula minat pelancong menginap di premis mereka.

Katanya, kebanyakan pengusaha hotel bajet berdepan situasi sukar menambah bilangan penginap terutama yang beroperasi di kawasan tumpuan.

"Ia ditambah dengan promosi besar-besaran hotel bertaraf bintang dalam menarik minat pelancong domestik.

"Saya cadangkan adakan persidangan di kalangan mereka supaya ada jalan penyelesaian bagaimana mereka perbaiki situasi untuk meningkatkan kadar penginapan.

"Saya berharap syarikat dan orang ramai juga dapat memberi sokongan kepada pengusaha hotel bajet dengan mengadakan program berskala kecil di premis berkenaan," katanya.

Dianggarkan lebih 2,000 hotel bajet terdapat di seluruh negara yang berdaftar bersama kementerian.

Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat projek Terminal Feri Desaru Coast bersama Nancy Shukri (tengah) di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. FOTO ZAIN AHMED
Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat projek Terminal Feri Desaru Coast bersama Nancy Shukri (tengah) di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 7:14 PM