Kutipan memberangsangkan dalam tempoh 96 jam tayangan.
Kutipan memberangsangkan dalam tempoh 96 jam tayangan.
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Filem animasi Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! berjaya meraih kutipan RM3 juta selepas empat hari tayangan di pawagam.

Filem terbitan Les'Copaque Production Sdn Bhd dengan kerjasama KRU Studios itu diedarkan Primeworks Distribution.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim ketika dihubungi berkata, pihaknya gembira dengan sambutan memberangsangkan itu.

"Alhamdulillah, ramai menonton filem ini. Ia di luar jangkaan dan diharap sempena musim cuti sekolah ini kutipan akan terus meningkat.

"Selain itu, saya yakin jalan cerita dan jenama Upin & Ipin itu sendiri antara daya tarikan utama penonton ke pawagam.

"Ini kali pertama KRU Studios bekerjasama menerbitkan filem animasi dengan syarikat lain dan terkejut apabila dimaklumkan kutipan setakat ini sudah mencecah RM3 juta,” katanya.

Filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! arahan Erma Fatima itu dibintangi Puteri Balkis, Asyiela Putri (pelakon suara Upin Ipin), Awie, Sara Ali, Remy Ishak dan Gambit Saifullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 4:54 PM