ANTARA bukti minyak masak subsidi sekilogram yang dijual bebas di Thailand.
ANTARA bukti minyak masak subsidi sekilogram yang dijual bebas di Thailand.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Fazrik Kamarudin dan Hazira Ahmad Zaidi


PUTRAJAYA: Pemborong tempatan dikenal pasti menjadi dalang utama penyeludupan minyak masak bersubsidi selain memanipulasi proses penjualan untuk mengaut keuntungan besar.

Perkara itu didedahkan sendiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pertemuan dengan Harian Metro.

Saifuddin berkata, pihaknya berjaya mengesan taktik licik digunakan segelintir pemborong tidak bertanggungjawab menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran dengan membeli semula stok minyak masak yang dijual kepada peruncit.

Katanya, stok yang dibeli semula inilah kemudiannya diseludup ke negara jiran terutama ke Thailand untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Setiap proses yang berjalan, daripada pengilang kepada pemborong, pemborong kepada peruncit, perkara ini membabitkan lesen yang diberi dan seterusnya dikawal kementerian. Menerusi skim atau kaedah ini kita (KPDNHEP) boleh mengesan dan menyemak maklumat yang berkaitan.

“Apabila minyak masak dihasilkan kemudian dijual kepada pemborong, rekod penjualan ini kita boleh kesan. Penyeludupan tidak berlaku di peringkat ini.

“Seterusnya pemborong kepada peruncit, ia juga tidak berlaku kerana kita masih lagi boleh mengawal dengan mewajibkan pemborong menyenaraikan siapa pelanggan mereka.

“Apabila sampai ke peruncit, dia bebas menjual kepada sesiapa saja. Di sinilah pemborong yang menjual tadi membeli semula minyak masak yang sudah dijual daripada peruncit pada harga tertentu. Akhirnya stok minyak masak subsidi inilah yang akan diseludup,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan pemborong bersekongkol dengan sindiket yang menyeludup keluar minyak masak subsidi ini ke negara jiran.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ada juga pemborong yang didapati menjual minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) ini bukan di kawasan sudah dipersetujui berdasarkan lesen pemborong atau pembungkus diberikan.

“Sebagai contoh, kementerian beri lesen borong atau pembungkus semula kepada syarikat di Tanjung Karang, Selangor. Kami beri (lesen untuk kawasan itu) sebab mahu memastikan bekalan minyak masak subsidi di Tanjung Karang terjamin.

“Tetapi jika kami kesan minyak masak subsidi itu dihantar hingga ke Kelantan, itu pasti tiada sebab lain. Mesti untuk diseludup.

“Lagipun harga minyak subsidi di Tanjung Karang RM2.50...di Rantau Panjang pun RM2.50, mengapa mesti dijual di sana?” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas menarik balik lesen pemborong akan diambil terhadap mereka yang didapati menjadi dalang menyeludup minyak masak subsidi dan seterusnya mendakwa mereka di mahkamah.

“Nilai yang dirampas bukanlah kecil, ia membabitkan jutaan ringgit, berdasarkan rekod sehingga September 2018, nilai rampasan minyak masak dilakukan kementerian berjumlah RM3,646,012.

“Ia satu implikasi kewangan yang amat besar kepada kerajaan. Saya akui penyeludupan masih berlaku, bila ia berlaku langkah pertama penyelesaian adalah akui wujudnya penyeludupan, kedua baru kita tengok semula aspek pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawabnya memegang portfolio itu adalah tugas mencabar diamanahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepadanya.

“Tun ada meminta saya memikirkan kaedah untuk mengawal isu penyeludupan barangan subsidi, sekali gus mengawal ketirisan wang kerajaan.

“Isu ini bukan hanya membabitkan Malaysia dan Thailand, tetapi turut membabitkan penyeludupan dari Sabah Sarawak ke Indonesia dan Filipina.

“Seharusnya minyak masak subsidi ini digunakan untuk bantu rakyat dan isi rumah. Malangnya ia diseludup (ke luar negara) malah digunakan oleh pekedai atau restoran yang tidak layak menggunakan minyak subsidi ini,” katanya.

Saifuddin memaklumkan kerajaan memperuntukkan subsidi minyak masak berjumlah RM600 juta di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) tahun ini.

Katanya, subsidi berkenaan merangkumi sebanyak 60 sen bagi setiap peket 1kg membabitkan keseluruhan 60,000 tan minyak masak.

“Jumlah susbsidi ini membabitkan 282 syarikat pembungkus semula yang berada di bawah skim COSS di seluruh negara.

“Setiap syarikat diberikan kuota tertentu mengikut kawasan tertentu bagi membungkus semula minyak masak untuk dijual di pasaran tempatan pada harga RM2.50 sepeket,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 7:00 AM