Rizanizam Abdul Hamid

Putrajaya: Harga minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram (kg) dikekalkan pada paras RM2.50 manakala harga minyak masak di dalam botol akan ditetapkan mengikut harga pasaran bermula 1 November ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kadar itu berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

Menurut beliau, penstrukturan semula harga minyak masak itu dibuat susulan kenaikan harga minyak sawit diproses (olein) Lembaga Minyak Sawit Malaysia dari RM2,341 satu tan pada Januari tahun lalu kepada hampir RM3,000 pada September lalu.

“Ini bermakna sudah ada peningkatan RM600 bagi setiap tan sebagai tambahan subsidi kepada 85,000 tan metrik minyak masak sebulan ketika ini.

“Jika dihitung, nilai subsidi akan bertambah kira-kira RM48 hingga RM50 juta sebulan berikutan kenaikan harga olein,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, semalam.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, jika tanpa subsidi, minyak masak dalam botol termasuk satu kg dianggarkan berharga di antara RM3.70 dan RM3.90 atau mengikut harga pasaran.

“Diharapkan penstrukturan semula minyak masak ini juga dapat mengurangkan bahan asas itu diseludup keluar ke negara jiran yang dijual pada harga melebihi RM4 bagi setiap kilogram,” katanya.

Mesyuarat Kabinet pada 21 September lalu bersetuju supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil alih pengurusan COSS daripada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bermula 1 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:30 AM