Papan elektronik tukaran mata wang asing pelbagai negara menunjukkan nilai Ringgit Malaysia jatuh mendadak ketika tinjauan di pusat membeli-belah Ampang Park, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Papan elektronik tukaran mata wang asing pelbagai negara menunjukkan nilai Ringgit Malaysia jatuh mendadak ketika tinjauan di pusat membeli-belah Ampang Park, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan mengarahkan bank di Malaysia untuk membekukan derivatif (terbitan) ringgit bagi mengurangkan ketidaktentuan pasaran mata wang negara.

BNM menegaskan sekiranya terdapat perubahan dasar membabitkan derivatif dan tempat urus niaga ringgit, pihaknya akan mengumumkan langkah itu.

Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya tidak melaksanakan langkah berkenaan dan hanya berurusan dengan bank secara individu.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa memantau keadaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan dalam pasaran mata wang negara.

BNM juga menolak pasaran transaksi kontrak hadapan tidak boleh serah (NDF) memandangkan ia tidak mencerminkan asas ringgit yang sebenar.

“Pasaran NDF bersifat spekulatif dan kita tidak perlu mengambil kadar daripadanya memandangkan ringgit perlu diambil oleh urus niaga asas seperti yang dikontrakkan pada setiap hari. Itulah bagaimana ringgit ditentukan,”€ katanya pada taklimat ekonomi Malaysia suku ketiga di sini, hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan BNM akan mengeluarkan kenyataan penuh dari bank pusat mengenai isu pembekuan derivatif ringgit pada petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 5:10 PM