MEMANDANGKAN asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, BNM berpendapat ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi. FOTO BERNAMA
MEMANDANGKAN asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, BNM berpendapat ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi. FOTO BERNAMA
Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan dalam pasaran pertukaran asing.

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai sebenar.

"Memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan bank pusat itu sedang merangka 'galakan' untuk syarikat dan pelabur membawa kembali hasil, keuntungan dan simpanan dalam mata wang asing.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Anwar berkata, bank pusat sudah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

"(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran," kata Perdana Menteri.

Sementara itu, ringgit diniagakan pada 4.7770/7805 pada 12.32 tengah hari semalam selepas dibuka pada 4.7775/7805 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.7750/7795 semasa ditutup pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, beliau menjangka pada kali ini BNM mungkin tidak akan melaksana peraturan atau arahan seperti yang pernah dibuat sebelum ini.

Tetapi, sebalik, beliau menambah, bank pusat dijangka mengadakan satu bentuk galakkan untuk badan-badan pelaburan, syarikat, pengeksport dan sebagainya untuk menukar kembali simpanan dan hasil dalam mata wang asing kepada ringgit.

"Kita perlu menunggu pengumuman rasmi dari pihak BNM untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan langkah yang bakal dilaksanakan.

"Pada ketika ini, memandangkan situasi pasaran mata wang dilihat tidak mencerminkan kedudukan ekonomi, justifikasi untuk mengadakan galakkan kepada pelabur dan syarikat adalah wajar," katanya.

Jika disingkap semula, pada Disember 2016 pihak BNM 'agak tegas' mengumumkan beberapa langkah untuk menstabilkan nilai akibat kewujudan pasaran Non Deliverable Forward (NDF) yang dilihat sudah mengganggu gugat nilai mata wang ringgit dan tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara.

Kata beliau, ketika itu langkah berkenaan adalah pengeksport boleh menyimpan 25 peratus daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing dan ini bermakna 75 peratus hasil eksport akan ditukar dalam bentuk ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 8:26 AM