Anggota bomba memeriksa kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kampung Sungai Sam, Jalan Kuala Krai-Gua Musang. FOTO Ihsan bomba
Anggota bomba memeriksa kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kampung Sungai Sam, Jalan Kuala Krai-Gua Musang. FOTO Ihsan bomba
Rosliza Mohamed


Kuala Krai: Dua maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam, di sini, kira-kira 2 petang tadi.

Dalam kejadian itu, Rafiah Omar, 60, dan Norsiah Pungot, 50, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK), di sini.

Mangsa yang cedera ialah Hanafi Mamat, 68, Muhammad Suhaimi Ismail, 22, Mat Nawi Hamid, 57, dan Muhammad Nir Rizuan Afiq Abdullah, 8. Semua dirawat di hospital sama.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dipandu Mat Nawi dari arah Gua Musang ke Kuala Krai hilang kawalan dan bertembung dengan Daihatsu Rocky dinaiki mangsa yang maut dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.04 petang.

"Ketika tiba, kebanyakan mangsa dikeluarkan orang awam. Mangsa yang cedera diberi bantuan awal sebelum dihantar ke HKK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 8:06 PM