Oleh Roslen Fadzil

Nampak macam 'teruk' atau 'troublemaker' pula Vanidah Imran apabila Zed Zaidi membuat laporan rasmi di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, Jumaat lalu gara-gara buku cek yang dipegang Vanidah sebagai Bendahari SENIMAN gagal diperolehnya.

Sekali lagi persatuan yang seharusnya membela nasib dan kemajuan pelakon di Malaysia itu kembali bergolak sesudah barisan exco baru mengambil alih pimpinan bersama Zed yang kekal sebagai Presiden.

Sejak sedekad dua ini, kita lihat SENIMAN tidak lagi aman damai. Ada saja drama realiti yang bertukar ganti membabitkan ahli mahupun pucuk pimpinannya, sampaikan berlakunya insiden saman-menyaman, laporan polis dan bakal menuju undi tak percaya.

Namun dalam aspek lain, saya puji persatuan itu enggan mengalah, enggan undur dan mahu terus berjuang dengan visinya yang besar untuk anak seni Malaysia.

Namun ketidaksefahaman dan komunikasi yang gagal menjadi permasalahan terbaru buat Zed Zaidi, Vanidah dah AJK yang lain.

Saya juga ada memuat naik 'post' dalam akaun Instagram saya, slenfadzil, kelmarin yang menyebut secara ringkas, bukan saya hendak salahkan sesiapa tapi dari hari pertama Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) lagi sudah nampak ada pelbagai falsafah, doktrin dan pemikiran dalam kalangan mereka yang berada dalam persatuan ini.

Ada yang 'urban thinking' dan ada pula yang 'mass thinking'. Namun saya yakin semua mereka dalam SENIMAN sebenarnya cuba memberikan imej yang baru kepada persatuan itu. Cumanya, percubaan itu macam belum menjadi malah berakhir dengan laporan polis.

Saya tahu ada artis yang memetik semula 'posting' saya itu secara 'screen captured' dan meletakkannya dalam 'group chat' tertentu untuk berbincang sesama sendiri mengenai apa yang saya coretkan. Saya tidak kisah asalkan mereka faham maksud saya itu bahawa ia satu kekesalan terhadap apa yang berlaku.

Apa yang pasti, ramai terkejut kenapa Zed sampai menapak masuk ke balai polis? Adakah itu jalan terakhir atau 'the last solution' daripadanya? Awalnya, membaca tajuk berita kelmarin, saya ingatkan Vanidah sudah membawa lari duit ke luar negara, namun rupanya buku cek kosong SENIMAN yang belum diluluskan nama Vanidah sebagai penama oleh bank terbabit.

Berdasarkan kenyataan Zed, kita faham dia memerlukan wang daripada tabung SENIMAN untuk melunaskan semua bil berkaitan pengurusan persatuan itu, gaji pekerja dan macam-macam perkara lagi.

Jadi menganggap buku cek itu sebagai hilang daripada simpanan, Zed tiada jalan lain selain daripada ke balai polis. Zed juga mendakwa Vanidah sukar dihubungi menyebabkan komunikasi antara mereka gagal.

Saya dan ramai yang lain bukan berada dalam SENIMAN. Kita sebagai pemerhati akan lihat dan bercakap berdasarkan apa yang kita lihat dan dengar. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan AJK SENIMAN lebih faham mengenai masalah dalaman dan apa juga cabaran dalam menguruskan persatuan itu.

Terserahlah kepada mereka yang berada dalam SENIMAN untuk mengemudi kapal mereka dengan cekap agar tidak terlanggar bongkah ais atau tenggelam seperti RMS Titanic atau Van Der Wijck.

Kalau ada masalah sebesar mana pun, bawa dulu berbincang secara tertutup atau daripada hati ke hati agar tidak menjadi pekung yang terdedah. Tentu kita tidak mahu orang bertepuk tangan di luar sana melihat drama baru dalam SENIMAN.

Tentu orang cakap, khabarnya hendak mencari muka baru dan pelapis dalam SENIMAN tapi formula itu 'hampeh'. Belum terlambat untuk menyelamatkan SENIMAN dan memulihkan kembali [email protected] / instagram: slenfadzil

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:01 AM