JERKOVIC antara pemain import yang gagal menyerlah.
JERKOVIC antara pemain import yang gagal menyerlah.

Seremban: Selepas menyaksikan kegagalan pemain import memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan seperti yang diharapkan sepanjang saingan Liga Malaysia musim 2016, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) terpaksa lebih berhati-hati dalam memilih pemain bagi menghadapi musim depan.

Tindakan itu diambil untuk memastikan situasi sama tidak berulang sebaliknya mahu sumbangan pemain import yang diambil menganggotai pasukan benar-benar berkesan dan berbaloi dengan dana dikeluarkan.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PBNS tidak akan terburu-buru membuat keputusan dalam memilih pemain import sebaliknya penelitian menyeluruh akan dilakukan untuk memastikan pelaburan yang dibuat tidak sia-sia.

Katanya, antara langkah yang akan diambil termasuk ujian terhadap pemain akan dibuat lebih teliti dan dalam tempoh lebih lama berbanding sebelum ini.

“Malah, pemain import terbabit mungkin perlu berada di sini (Seremban) lebih seminggu dan diuji dalam beberapa sesi latihan khusus serta perlawanan persahabatan, sebelum mereka dinilai dan diambil menganggotai pasukan.

“Kita (PBNS) juga tidak akan mengambil pemain import dari satu negara yang sama sebaliknya dari latar belakang berbeza, selain penekanan diberikan kepada pengurusan secara profesional.

“Kita akan buat pemilihan berdasarkan merit, tambahan pula pemain import ketika ini bukannya murah,” katanya pada selepas Kongres PBNS ke-84, kelmarin.

Pada musim 2016, Negeri Sembilan mempertaruhkan empat pemain import yang berasal dari Australia dan England iaitu Taylor Regan, Joel Joseph Chianese dan Andrew Nabbout serta Alex Smith dan Goran Jerkovic (gantian).

Bagaimanapun, sumbangan mereka nyata tidak dapat membantu mengembalikan semula reputasi skuad Hoben Jang Hoben yang menyasarkan mara ke saingan Liga Super musim depan.

Sebaliknya, skuad bimbingan pengendali dari Australia Gary Michael Phillips sekadar menamatkan saingan Liga Perdana di tempat keempat dengan kutipan 35 mata hasil sembilan kemenangan dan lapan seri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:04 AM