AOYAMA (duduk kanan) bersama pelumba Khairul Idham (duduk dua kiri), Takaaki Nakagami (duduk tengah) dan Ratthapark Wilairot (duduk dua kanan).
AOYAMA (duduk kanan) bersama pelumba Khairul Idham (duduk dua kiri), Takaaki Nakagami (duduk tengah) dan Ratthapark Wilairot (duduk dua kanan).

Boon Siew Honda komited mengangkat industri permotoran di negara Asia melalui peningkatan peminatnya serta mencungkil bakat baharu tempatan sehingga berjaya maju ke peringkat antarabangsa.

Antara langkahnya adalah melalui Honda Racing di Asia dalam Shell Malaysia Grand Prix 2016 (MotoGP 2016) yang mana pembabitan Honda yang lebih dominan dalam MotoGP berkenaan dan acara permotoran lain dengan perkembangan beberapa pelumba Asia bawah jenama Honda.

Pegawai Operasi Honda Motor merangkap Ketua Pengarah Operasi Permotorannya, Shinji Aoyama berkata, tahun ini Honda bekerja keras dalam membangun dan memperkembangkan permotoran Asia bersama pihak berkaitan seluruh dunia dengan menetapkan sasaran konsep ‘pelumba GP dari Asia’.

Beliau berkata, ia tidak sahaja menjurus terhadap perkembangan bagi pertumbuhan peminat sukan permotoran di Asia, juga bekerjasama dengan rangkaian cawangan bagi mencari bakat baru pelumba berkelas dunia.

“Ia juga adalah usaha untuk mengukuhkan struktur pembangunan pelumba Asia dan bagi tahun seterusnya, Asia Dream Cup dan Piala Bakat Asia akan disepadukan untuk menjadi struktur baru.

“Objektifnya adalah untuk membuat pintasan ke platform antarabangsa dan oleh itu latihan akan turut diberi tumpuan dengan menggunakan Honda NSF250R yang mana adalah jentera asas, sama dengan apa yang digunakan dalam kejohanan dunia dan CEV,” kata Aoyama dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Blok Honda Motor Co Ltd (Honda Motor) Bahagian Sokongan Motor, Shinji Tanaka berkata, pada 2017, Honda akan terus bersaing dalam kejohanan dunia bagi kategori lumba motor, motocross, trial, super cross dan Dakar Rally.

Katanya, setakat ini perlumbaan motor bagi kategori atas jalan raya didominasi oleh pelumba Asia dan berharap satu hari nanti semua pelumba Asia berada di tangga teratas setiap kategori.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda, Nobuhide Nagata berkata, segala usaha dilakukan Honda adalah inisiatif berterusan syarikat itu menerusi pasukan lumba dalaman dikenali sebagai Musashi Boon Siew Honda.

“Dalam melahirkan bintang baharu selepas kejayaan cemerlang yang diraih Khairul Idham Pawi yang hanya mengambil masa empat tahun dari tempoh tamat pengajian di sekolah perlumbaan untuk memenangi perlumbaan Moto3, syarikat mengambil langkah tertentu dalam meningkatkan sistem sedia ada,” katanya.

Selain itu, Litar Antarabangsa Sepang akan memulakan Piala Bakat Malaysia menggunakan NSF250 yang bertujuan menyokong perlumbaan itu dengan menghantar pelumba dan mekanik untuk memberikan pelumba muda peluang menguasai jentera sama seperti Moto3 pada peringkat tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:01 AM