FIZA di hadapan bangunan kampus universitinya di UK.
FIZA di hadapan bangunan kampus universitinya di UK.

Ramai beranggapan melanjutkan pengajian dalam bidang agama tidak menjanjikan masa depan cerah dalam kerjaya suatu hari nanti.

Malah, terdapat segelintir anggota masyarakat yang memandang serong terhadap bidang pengajian yang dipilih terutama di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah atau Fakulti Pengajian Islam.

Bagaimanapun, ia berbeza bagi gadis berusia 26 tahun ini, Nor Hafizatul Zainol yang membuktikan ijazah sarjana muda dalam bidang agama yang dimiliki sedikit pun tidak menghalangnya melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang sains komputer.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini berkata, pengkhususan di universiti itu berkaitan hadis serta al-Quran dan antara yang dipelajari termasuk cara mentakhrij ilmu hadis, mengistinbat hadis hukum, mengenal pasti hadis palsu dan banyak lagi.

Manakala bagi subjek pengurusan maklumat pula katanya, ia berkait rapat dengan pengurusan maklumat di sesebuah organisasi perpustakaan.

Namun selepas tamat latihan industri di Universiti Utara Malaysia (UUM), Nor Hafizatul atau lebih mesra disapa Fiza membuat pilihan yang agak drastik iaitu memilih untuk menyambung pengajian peringkat sarjana sains komputer di luar negara.

Ikuti temu bual bersama gadis kelahiran Changlun, Kedah ini berkongsi suka duka yang ditempuh sepanjang pengajian terutama dalam menangkis stigma masyarakat terhadap ‘budak sekolah agama’ ini.

SOALAN (S): Umum mengetahui bidang sains komputer dikategorikan sebagai bidang agak kritikal berbanding pengajian agama, jadi mengapa memilih bidang ini untuk peringkat pengajian seterusnya?

JAWAPAN (J): Pada awalnya, ramai rakan yang menghalang dan tidak menyokong pilihan saya untuk menyambung pengajian dalam bidang ini apatah lagi bercita-cita untuk menyambung belajar di luar negara.

Menurut mereka, bidang sains komputer yang ditawarkan di United Kingdom (UK) sangat susah berbanding pengajian di Malaysia. Selain itu, masalah dari segi penguasaan dan pertuturan dalam bahasa Inggeris juga sering menjadi mimpi ngeri buat mereka yang mempelajari bidang agama.

Bukan mudah untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris apabila pada masa sama anda perlu menghafal pelbagai subjek agama.

S: Bagaimana Fiza mampu teruskan juga minat itu walaupun mendapat tenta­ngan orang sekeliling?

J: Walaupun sering dipandang rendah oleh rakan dan teman sekerja, saya tidak mudah putus asa dan sentiasa yakin dengan pilihan saya. Bagi mereka mungkin itu hanya angan-angan kosong, namun ia penyuntik sema­ngat saya terus maju ke depan.

Akhirnya tahun 2014-2015, meninggalkan 1,001 pengalaman pahit dan manis dalam hidup apabila saya menamatkan sesi pengajian di University of York, UK. Selama setahun, saya harungi pelbagai cabaran untuk menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Sains (MSc) Human-Centred Interactive Technologies atau lebih dikenali sebagai subjek Interaksi Komputer Manusia di Malaysia.

Tiada yang mustahil de­ngan izin Allah, pernah belajar major bidang agama bukan bermaksud anda tidak boleh terus maju seiringan dengan rakan lain yang mengambil jurusan sains komputer di peringkat sarjana muda. Apa yang perlu anda lakukan ialah berusaha.

S: Apa nasihat Fiza kepada anak muda yang mahu melanjutkan pengajian di luar negara?

J: Pastikan anda mempunyai niat yang baik, yakin dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Percayalah, doa dan usaha itu perlu seiringan untuk memastikan anda kekal berjaya. Sebenarnya, belajar bidang agama itu perkara asas yang perlu kita dalami dan fahami terlebih dahulu sebelum mempelajari bidang yang lain.

Sebagai Muslim, kita perlu memahami hukum-hakam yang Allah tetapkan dalam kehidupan seharian. Memang tidak dinafikan, ilmu agama yang saya pelajari ketika peringkat sarjana muda dan sekolah menengah dahulu sangat membantu untuk diamalkan semasa berada di negara orang.

S: Apa yang menyebab­kan minat Fiza terus ber­kembang dalam bidang sains komputer?

J: Semasa tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda di USIM, saya pernah mereka cipta sebuah aplikasi penunjuk arah lokasi sesuatu bangunan. Idea itu tercetus apabila saya dan tiga rakan lain pernah belajar subjek Interaksi Manusia dan Komputer di USIM.

Jujur, ketika itu saya memang tiada pengalaman atau ilmu yang mendalam untuk membina aplikasi terbabit. Saya cuma diajar oleh seorang pensyarah sambilan yang mengajar subjek IT ketika itu.

Dari situ, saya mula sedar yang minat saya untuk mendalami ilmu kepakaran dalam bidang teknologi semakin membuak-buak. Saya lebih cenderung untuk mempelajari subjek IT serta mengkaji perkaitannya dengan al-Quran.

Tapi ketika itu saya memang tak tahu sangat mengenai IT tulen. Jadi, saya nekad menceburi bidang sains komputer pada peringkat pengajian yang seterusnya iaitu sarjana. Saya ingin sangat­ belajar mengenai bahasa pengatucaraan komputer.

Lagipun saya yakin sudah ramai yang melakukan perkara yang sama seperti saya iaitu menukar bidang pengajian semasa di pering­kat sarjana.

S: Kenapa memilih luar negara sebagai destinasi pengajian anda?

J: Saya tak sangka Allah murahkan rezeki untuk saya jejakkan kaki ke bumi UK tahun lalu. Setahu saya, bukan mudah untuk merebut peluang sambung belajar di sana, hanya mereka yang bijak dan terpilih saja mampu menjejakkan kaki ke UK.

S: Tip atau amalan yang boleh dikongsi untuk pelajar dalam mengejar impian mereka.

J: Saya bukanlah pelajar pintar atau bekas graduan ijazah sarjana muda kelas pertama. Keputusan saya biasa-biasa saja malah keputusan akhir pengajian saya hanya cukup syarat untuk memohon biasiswa atau memenuhi syarat kemasukan universiti di UK.

Tapi saya yakin, apa yang diperoleh ketika itu berkat daripada solat tahajud dan doa yang saya amalkan. Benarlah, doa pada satu pertiga malam itu tiada hijabnya. Selain itu, saya yakin berkat doa kedua-dua ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk saya terus berjaya.

S: Apa yang membezakan pengajian di UK berbanding di negara ini?

J: Sistem pendidikan dan pembelajaran di UK sangat berbeza berbanding di Malaysia. Anda perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Pastikan sentiasa meluangkan masa untuk mengulang kaji pelajaran dan membaca buku rujukan yang disediakan pensyarah supaya anda tidak ketinggalan jauh berbanding pelajar lain.

Macam saya, banyak subjek yang ketinggalan agak jauh berbanding rakan lain kerana sebelum ini saya tidak belajar secara terperinci mengenai subjek itu, namun itu bukan penghalang untuk terus berjaya.

Apabila kita berada di belakang, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berusaha lebih gigih daripada orang lain. Berjaga malam sehingga pukul 3, 4 pagi sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar Malaysia yang pernah belajar di UK.

S: Apa yang dilakukan selepas tamat pengajian?

J: Buat sementara, saya masih aktif dengan penulisan buku dan sudah menerbitkan sebuah buku panduan untuk membantu mahasiswa yang bermatlamat seperti saya iaitu Tips & Panduan Sambung Belajar di Luar Negara.

Buku ini hanya boleh didapati secara dalam talian melalui Facebook, Buku Tips & Panduan Sambung Belajar Oversea atau Instagram, BukuTipsBelajarOversea.

Di dalam buku ini, ada menceritakan pengalaman dan proses permohonan yang saya lakukan untuk mencapai cita-cita sambung belajar di luar negara. Niat saya cuma satu iaitu membantu mereka yang senasib dengan saya yang tidak mempunyai kenalan atau rakan untuk berkongsi pengalaman menguruskan permohonan sambung belajar di luar negara.

Selain itu, sekarang saya masih aktif menulis buku mengenai pengembaraan selama hampir sebulan di Eropah dan Balkan. Selama dua minggu saya mengembara seorang diri dan selama itu jugalah Allah menjaga saya dengan sebaik-baik jagaan.

Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan kepada semua pembaca mengenai dekatnya Allah di hati manusia.

S: Apa rancangan Fiza selepas ini?

J: Untuk perancangan jang­ka panjang, saya akan terus berusaha mengejar cita-cita untuk menjadi pensyarah suatu hari nanti. - Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 6:48 AM