NAJIB bersama Jinping di Rumah Tetamu Negara Diaoyutia. FOTO Bernama
NAJIB bersama Jinping di Rumah Tetamu Negara Diaoyutia. FOTO Bernama
Shariffudin Mohamed

Beijing: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap lawatannya ke China selama seminggu mulai Ahad lalu sebagai paling berjaya.

Beliau berkata demikian kepada Presiden China, Xi Jinping dalam ucapan pembukaannya pada mesyuarat delegasi Malaysia dan China di Rumah Tetamu Negara Diaoyutia di sini, petang tadi.

"Saya anggap lawatan saya setakat ini paling berjaya. Saya tak mahu kata berjaya tetapi paling berjaya atas pelbagai sebab yang saya akan bagi tahu kemudian," katanya.

Beliau berkata, visi Jinping untuk mengadakan rakan kongsi strategik yang komprehensif, inisiatif ‘One Belt One Road’ dan ‘Maritime Silk Road’ bukan saja sudah diterima, malah dilaksanakan.

"Memang amat penting kekuatan, visi dan keberkesanan kepimpinan tuan mendapat sokongan daripada parti kerana kami percaya ia mampu membawa China terus ke hadapan," katanya.

Dalam ucapan balasnya, Jinping memuji Najib atas usahanya mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Katanya, hubungan ini perlu terus diperkukuh dan membabitkan pelbagai bidang.

Beliau berkata, Tun Abdul Razak memulakan hubungan China-Malaysia dan kini Najib mengambil usaha menyambung dan memperkukuhkan hubungan yang dibina bapanya itu.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia kemudian menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Jinping.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 7:38 PM