NAJIB bersalaman dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan beramah mesra dengan pemimpin dunia dari negara lain pada Sidang Kemuncak G20, semalam.
NAJIB bersalaman dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan beramah mesra dengan pemimpin dunia dari negara lain pada Sidang Kemuncak G20, semalam.

Antalya: Sidang Kemuncak Pemimpin G20 bermula semalam dengan tumpuan utama kepada pertumbuhan global dan jangkaan pemimpin akan memberi respons kepada isu berkaitan keganasan dan krisis pelarian.

Dengan ketegangan pasaran kewangan sekarang dan kelembapan ekonomi pasaran sedang pesat membangun, sidang kemuncak itu dijangka menumpukan kepada cabaran ekonomi global dan mengemas kini strategi pertumbuhan.

Sidang kemuncak itu bermula dengan majlis meraikan pemimpin dunia antaranya Presiden Amerika Syarikan (AS) Barack Obama, Presiden Russia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga diraikan oleh hos, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Najib yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Turki sejak 13 November menghadiri sidang kemuncak itu selaku Pengerusi ASEAN.

Difahamkan, semua pemimpin G20 menghadiri sidang kemuncak itu kecuali Presiden Perancis Francois Hollande ekoran tragedi malang di Paris dan Presiden Argentina Cristina Fernandez de Kirchner berikutan pilihan raya di negaranya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 4:51 AM