Banyak sudah orang bercakap perihal buruk perangai pelakon Aishah Ilias sewaktu menjayakan drama bersiri Cinta Ibadah. Macam-macam versi yang sampai ke telinga Cik Pang.

Sebelum ini ada yang kata Aishah bersikap diva. Itu belum masuk bab disiplin di mana dia dikatakan lambat. Menimbulkan masalah kepada pelakon lain kerana tidak menghafal skrip dan pelbagai lagi cerita buruk dikaitkan dengan pelakon muda itu.

Bukan itu saja, Cik Pang juga dengar cerita yang pihak produksi terpaksa mematikan watak utama dilakonkan Aishah dan jalan cerita ditukar bagi menyelamatkan drama yang mempunyai 130 episod itu.

Sikap buruk Aishah sepanjang terbabit dalam pembikinan drama Cinta Ibadah itu turut disiarkan dalam kolum gosip akhbar tempatan.

Apabila terlalu banyak sangat orang bercakap perihal buruk Aishah, Lana Nodin yang turut membintangi drama Cinta Ibadah tampil mempertahankan pelakon muda itu.

Lana yang berkongsi cerita dengan rakan Cik Pang menjelaskan, apa diperkatakan dan disiarkan dalam ruangan gosip mengenai Aishah tidak benar sama sekali.

Katanya, sepanjang bekerja dengan Aishah, tidak pula dia nampak Aishah bersikap diva dan menimbulkan masalah kepada orang lain. Kerja-kerja penggambaran juga berjalan lancar.

Lana berkata, kalau benar watak Aishah ditukar, tentu semua orang yang terbabit dalam pembikinan drama itu dimaklumkan lebih awal tetapi perkara itu tidak berlaku langsung.

Lebih menggelikan hati Lana, dalam orang bercerita buruk mengenai Aishah, pelakon muda itu tetap juga membawa watak utama sehingga episod 130 dan tidak pernah sekalipun watak ditukar dan dibawakan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:03 AM