ANTARA mangsa bot karam. FOTO ihsan Bomba
ANTARA mangsa bot karam. FOTO ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Dua mati, lima selamat manakala lima lagi masih belum diketahui status mereka selepas bot penambang dinaiki karam dalam perjalanan dari Tanjung Dawai, menuju Pantai Merdeka, Sungai Petani, kira-kira 10 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.38 pagi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Yan tiba di lokasi pada 11.06 pagi.

Katanya, setakat ini tujuh mangsa sudah dibawa ke jeti di Tanjung Dawai dengan dua daripadanya iaitu seorang lelaki dan seorang wanita disahkan maut.

"Maklumat awal yang diterima, lima mangsa yang selamat, empat daripadanya berada di Hospital Yan termasuk tiga cedera dan seorang sihat. Seorang lagi berada di pantai," katanya dihubungi di sini.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Kuala Muda Leftenan Muda Azahar Ahmad ketika dihubungi berkata, semua 12 penumpang bot berkenaan dari Negeri Sembilan, namun enggan mengulas lanjut kerana operasi menyelamat sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 12:30 PM