Zuliaty Zulkiffli


Yan: Fenomena kepala air yang berlaku di Titi Hayun, tahun lalu yang berlaku secara tiba-tiba, meninggalkan kesan mendalam buat penduduk di daerah itu yang bimbang kejadian sama berulang.

Sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka November ini, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan mengambil langkah awal mengadakan latihan bertujuan untuk memberi pendedahan awal serta kemahiran kepada semua yang terbabit dalam pengurusan bencana di daerah itu.

Ketua BBP Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali berkata, seramai 100 peserta dari pelbagai agensi di daerah ini menyertai latihan berkenaan yang diadakan di Tandop Raga, di sini.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada semua yang terbabit mengenai cara untuk menguruskan situasi awal sekiranya berlaku banjir dan memerlukan perpindahan mangsa merentasi sungai.

"Minggu ini, dijangkakan daerah Yan akan mengalami hujan lebat lebih kerap serta tiupan angin kencang.

"Kita akan memberi tumpuan di kawasan yang kerap dinaiki air iaitu di Kampung Ruat, Teroi, Seri Perigi, Titi Hayun dan kawasan pesisir pantai iaitu di Pantai Murni serta Tanjung Dawai, " katanya di sini hari ini.

Noorhamidi berkata, fasa peralihan MTL akan membawa hujan yang kerap dan pihaknya bimbang ia akan mengundang risiko kepala air di kawasan peranginan seperti Titi Hayun yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berhampiran.

Katanya, antara agensi yang terbabit adalah BBP Yan, Balai Polis Yan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Daerah Yan (MDY), Bomba Komuniti Yan, Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Yan serta masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 5:24 PM