BALU yang tidak memiliki anak lelaki akan dibuang keluarga dan dirampas hartanya.
BALU yang tidak memiliki anak lelaki akan dibuang keluarga dan dirampas hartanya.
SEORANG wanita yang terpaksa tinggal di tepi jalan raya.
SEORANG wanita yang terpaksa tinggal di tepi jalan raya.
KEMAHIRAN yang ada digunakan untuk mencari pendapatan.
KEMAHIRAN yang ada digunakan untuk mencari pendapatan.
WANITA Mozambique menjadikan perladangan sebagai sumber pendapatan utama.
WANITA Mozambique menjadikan perladangan sebagai sumber pendapatan utama.
BALU yang tidak mempunyai anak lelaki terpaksa tinggal di jalanan.
BALU yang tidak mempunyai anak lelaki terpaksa tinggal di jalanan.
Susunan Faizatul Farlin Farush Khan


Selepas kematian suami, Marcia Madeya yang tinggal di Chikwidzire, Mozambique, dituduh mengamalkan ilmu hitam oleh adik lelaki iparnya sendiri.

Tidak cukup dengan itu, mereka mencuri pokok buahnya, tanaman serta kambing yang diternak Marcia serta berkongsi hasil rompakan berkenaan dengan keluarga mereka dan isteri mendiang suaminya yang lain.

Dihalau keluar oleh mentua, ibu kepada tiga anak itu terpaksa tidur merempat dan menjual buah-buahan serta anak patung di tepi jalan di kawasan terpencil demi mencari rezeki.

“Kelukaan yang saya tempuhi ini memakan diri setiap hari,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters, ketika dia sedang memasak makan malam.

Masalah yang dihadapi Marcia berpunca daripada nasibnya yang tidak dikurniakan anak lelaki.

Kata wanita berusia 44 tahun itu, dia isteri pertama kepada lelaki yang memiliki empat lagi isteri lain.

“Sebaik dia meninggal dunia, ladang keladi saya bersama-sama 20 pokok mempelam dan 15 kambing dicuri adik ipar dan dibahagikan kepada isteri suami yang lain kerana mereka melahirkan anak lelaki,” katanya.

Suaminya yang bekerja sebagai pelombong emas haram di Afrika Selatan, meninggal akibat jangkitan HIV.

Bagaimanapun, keluarga lelaki itu menuduhnya mengenakan ilmu hitam sehingga menyebabkan kematian suaminya.

Biarpun mengikut undang-undang negara itu, wanita dan lelaki mempunyai hak sama dalam pemilikan harta, hakikatnya sangat berbeza dengan keadaan di timur Mozambique, iaitu negara paling miskin di rantau Afrika.

Di daerah Chikwidzire dalam wilayah Manica yang bersempadan dengan Zimbabwe mengamalkan tradisi yang lebih mengutamakan lelaki. Masyarakat menetapkan wanita yang tidak mempunyai anak lelaki perlu menyerahkan tanahnya kepada sanak-saudara sebaik kematian suaminya.

Menurut Java Mtisi, pengasas rumah perlindungan Women Hands Together yang menjaga golongan balu yang dibuang keluarga, tidak memiliki anak lelaki dianggap sebagai petanda buruk dan memalukan mereka.

“Namun kami mengesyaki rasa tamak untuk memiliki tanah adalah punca sebenar yang membuatkan wanita malang ini disisihkan dan dituduh mengamalkan sihir,” katanya.

Ramai balu yang dibuang keluarga dan dirampas harta mereka kini tinggal di jalanan dan kebanyakannya terpaksa meminta sedekah untuk terus hidup.

Mtisi berkata, rumah perlindungan yang diuruskannya di bandar Espungabera, menerima kira-kira 30 balu setiap tahun.

Kebanyakannya adalah isteri yang berkahwin dengan suami yang mengamalkan poligami dan dihalau sebaik suami mereka meninggal dunia.

Pusat itu membantu dari segi menyediakan makanan dan menguruskan soal penjagaan kesihatan.

Menurut agensi pembangunan antarabangsa Norway, Norad, ketika ini tidak ada data tepat mengenai jumlah balu di Mozambique.

Namun menurutnya, bilangan balu adalah separuh daripada populasi wanita dewasa sebaik perang saudara tamat di negara itu pada 1992.

Kadar jangkitan HIV yang tinggi juga mempengaruhi data dan memberi impak kepada satu persepuluh populasi dan menyebabkan wanita kehilangan suami.

Malah, ramai balu turut hidup dengan HIV tetapi kebanyakannya terpaksa hidup di jalanan dan tidak mendapatkan rawatan yang disediakan kerajaan serta ubat antikuman yang mampu menyelamatkan nyawa mereka.

Perlembagaan Mozambique memberi jaminan kepada kesaksamaan antara hak lelaki dan wanita. Malah Undang-Undang Tanah 1997 dan Undang-Undang Keluarga 2004 negara itu melindungi harta wanita.

Namun di Chikwidzire, kira-kira 600 kilometer dari Maputo iaitu ibu negara Mozambique, bomoh tradisi dan ketua yang tidak diiktiraf undang-undang membuat keputusan.

Isteri jadi buruh ladang

Menurut Marcia, wanita di pedalaman menderita akibat pelbagai isu diskriminasi antaranya mereka tidak dibenarkan menandatangani kontrak perniagaan atau hartanah tanpa persetujuan suami dan lelaki selalunya akan mengambil hak dalam hartanah sepanjang berkahwin.

Di Chikwidzire, jalannya tidak bertar dan hanya ada lima sekolah rendah. Penduduk terpaksa menaiki bot untuk ke Zimbabwe bagi mencari peluang pekerjaan atau mendapatkan rawatan kesihatan daripada badan kebajikan.

Hanya sedikit wanita yang pernah ke sekolah dan kebanyakan mereka tidak boleh membaca. Menanam keladi, menternak kambing dan menanam sekoi iaitu sejenis bijirin tempatan yang digunakan untuk menghasilkan arak haram, adalah sumber pendapatan utama mereka.

Kebanyakan wanita di rantau itu juga berada dalam perkahwinan poligami dan biasanya lelaki akan berkahwin dua atau tiga supaya mereka dapat sama-sama membantu di ladang.

Biarpun poligami dilarang di Mozambique, tetapi kesalahan itu tidak dikenakan sebarang hukuman.

Mengikut kajian dilakukan Norad, kira-kira satu pertiga wanita di seluruh negara itu dianggap hidup berpoligami.

Kadar penderaan domestik juga tinggi, dengan beberapa kajian mendedahkan separuh daripada wanita di situ pernah mengalami keganasan. Balu pula sentiasa berada dalam keadaan terancam.

Mereka hidup dalam keadaan didera dan diserang mentua terutama apabila perlindungan daripada suami sudah tidak ada lagi, kata Mtisi.

Keadaan itu turut dialami seorang balu, Dorothy Susenga, 39, yang mempunyai tiga anak perempuan dan pernah menjadi mangsa dera.

“Tangan saya dilecurkan dengan lilin ketika cuba menghalang mereka mengambil enam lembu dan plot kebun kacang apabila suami meninggal akibat lemas di sungai,” katanya sambil menunjukkan parutnya.

Sama seperti nasib Marcia, Susenga juga dihalau dari rumahnya dan terpaksa berulang-alik dari Mozambique dan Zimbabwe, untuk menjual pakaian terpakai di tepi jalan.

“Ketua tradisional di sini tidak membantu. Mereka menerima rasuah seperti 30 botol arak haram diperbuat daripada mangga dan seekor kambing ketika membuat keputusan membuang seorang balu dari tanahnya,” katanya.

Menurut Mtisi, pendidikan amat penting dalam memastikan ketidakadilan dan penderaan terhadap wanita dapat dihentikan.

“Kita mesti memastikan anak perempuan di Mozambique bersekolah supaya boleh belajar mengenai perdagangan dan mengelak perkahwinan yang boleh menyebabkan kehidupan mereka terkongkong.

“Pendidikan juga akan membantu mereka mendapat penghormatan daripada lelaki. Jadi, kita mesti mengutamakan pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 11:00 AM