Milan: Manolo Gabbiadini (gambar) mengalami nasib malang kelmarin selepas penyerang itu dikenakan hukuman gantung dua perlawanan bagi menokok kekecewaannya baru-baru ini selepas dilayang kad merah ketika menang 2-1 ke atas Crotone di gelanggang lawan.

Lebih banyak berperanan sebagai pemain gantian musim lalu apabila dia menjaringkan sembilan gol dalam semua pertandingan, Gabbiadini diberikan peluang tidak disangka-sangka apabila penyerang utama Arkadiusz Milik mengalami kecederaan lutut ketika bermain untuk Poland.

Namun semuanya tidak menjadi buat pemain berusia 24 tahun itu, yang disambut penuh gemilang di lapangan terbang Naples apabila dia tiba dari Sampdoria pada Januari 2015 dengan harga 12 juta euro (RM54 juta).

Gabbiadini, yang beraksi enam kali buat Itali, berpeluang tiga kali minggu lalu untuk memastikan tempat dalam kesebelasan utama.

Pertamanya berakhir dengan cemuhan penyokong apabila dia dikeluarkan selepas sejam kerana persembahan hambar ketika kalah 1-3 kepada AS Roma.

Dia hampir menebusnya menentang Besiktas Rabu lalu apabila selepas menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, dia menjaringkan gol dengan sepakan gunting namun kegirangannya terencat apabila pengadil menyatakan ofsaid.

Ahad lalu, kekecewaannya memuncak dalam apa yang sepatutnya perlawanan biasa menentang kelab bawahan Crotone.

Selepas setengah jam berlalu dan Napoli mendahului 1-0, Gabbiadini dikasari Gian Marco Ferrari dan dia lantas cuba menyepak lawannya, dilayangkan kad merah serta-merta.

“Saya bimbang dia boleh mencederakan saya dengan terjahan itu. Saya minta maaf, saya hilang pertimbangan,” ujar Gabbiadini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 11:51 AM