CASTILLEJO (kanan) berjaya meledak gol kedua Milan. FOTO Agensi
CASTILLEJO (kanan) berjaya meledak gol kedua Milan. FOTO Agensi
AFP

Rome: AC Milan kekal mendahului lima mata di puncak liga Serie A selepas berhempas-pulas mengalahkan Sampdoria 2-1, manakala Napoli melonjak ke tangga ketiga apabila mencatat kemenangan ke atas Crotone.

Sepakan penalti, Franck Kessie di hujung separuh masa pertama dan rembatan Samu Castillejo pada minit ke-77 membolehkan juara Eropah tujuh kali itu selesa mengumpul 26 mata dan mula menjarakkan diri dengan seteru setempat, Inter Milan.

Gol saguhati Sampdoria disumbangkan Albin Ekdal lapan minit sebelum perlawanan ditamatkan.

Jurulatih Stefano Piolo memuji persembahan yang dipamerkan anak buahnya walaupun tanpa penyerang, Zlatan Ibrahimovic, Simon Kjaer dan Ismael Bennacer.

"Ini adalah pasukan yang boleh menempuh pelbagai situasi, walaupun ketika berdepan kesusahan, untuk membuktikan apa mereka mampu lakukan.

"Saya sentiasa dikejutkan dengan kematangan dipamerkan pemain. Mereka tidak pernah rasa kecewa jika mencatatkan keputusan teruk atau melepaskan peluang terbaik," katanya.

Napoli ketinggalan tiga mata di belakang, berkongsi kedudukan bersama penyandang juara, Juventus, selepas gol daripada Lorenzo Insigne, Hirving Lozano, Diego Demme dan Andrea Petagna membolehkan mereka mencatat kemenangan 4-0 di Crotone.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 11:10 AM