AIMILIA (kanan) dan Tengku Muazam menunjukkan coklat keluaran AOM Food.
AIMILIA (kanan) dan Tengku Muazam menunjukkan coklat keluaran AOM Food.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Selayang: AOM Food Industries (AOM Food), syarikat tempatan yang menghasilkan coklat jenama Grandeur merancang mempelbagaikan perisa coklatnya dan menambah sehingga lima jenis perisa lain dalam tempoh antara satu hingga dua tahun dari sekarang.

Pemiliknya, Aimilia Omar berkata, untuk perancangan berkenaan, pihaknya bercadang memperkenalkan perisa terbaru termasuk coklat jeli khas untuk kanak-kanak dan coklat kekacang.

“Setakat ini, kami menghasilkan sebanyak 100 jenis perisa yang berlainan jenis atas permintaan pelanggan, selain 20 perisa tetap yang ditampilkan di bilik pameran.

“Sebagai syarikat yang mempunyai kepakaran dalam segmen pembuatan coklat, kami menerima sebarang tempahan untuk majlis perkahwinan, korporat mahupun apa jua program dan pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan coklat dalam perisa yang mereka inginkan termasuk perisa buah-buahan seperti pisang, mangga, durian, perisa kopi seperti tiramisu serta coklat berperisa herba,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, AOM Food menyasar untuk memperoleh jualan bernilai sehingga RM1.5 juta menjelang hujung tahun ini, berbanding RM1 juta yang direkodkan tahun lalu.

Katanya, unjuran berkenaan yakin dicapai didorong oleh aktiviti pemasaran syarikat selain penambahan jumlah ejen daripada lebih 80 kepada kira-kira 200 orang sebelum hujung tahun ini.

Mengulas mengenai pengeluaran kilang, Pemilik Bersamanya, Tengku Muazam Kamal berkata, tahun ini, AOM Food mampu menghasilkan kira-kira dua tan produk coklat dalam tempoh sebulan, berbeza dengan jumlah yang direkodkan tahun lalu iaitu antara 500 kilogram (kg) sehingga satu tan dalam tempoh yang sama.

“Pada 2015, kami berjaya mencatatkan pengeluaran produk coklat sehingga 12 tan sepanjang tahun dan optimis mampu menambah angka itu kepada 24 tan tahun ini,” katanya.

Bagi yang berminat mendapatkan coklat pelbagai perisa jenama Grandeur dengan saiz bermula 10g bersama harga terendah RM1.50, anda boleh melayari akaun Facebook (Coklat.my) dan Instagram (Coklat_grandeur).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 7:18 AM