Wan Nur Ameera Meor Rozman


Selayang: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) optimis untuk mengekalkan perolehan eksport bernilai sehingga RM5 bilion sama seperti angka yang direkodkan tahun lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, angka berkenaan didorong antaranya oleh segmen eksport produk koko merangkumi biji, kulit, pes, lemak, serbuk dan coklat.

“Kita mengeksport produk koko ini ke lebih 100 destinasi di seluruh dunia termasuk Afrika. Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan China adalah antara pasaran utama eskport Malaysia bagi segmen produk koko.

“Buat masa ini, kami tidak merancang untuk menambah keluasan ladang mahupun pokok koko, sebaliknya fokus terhadap pengeluaran dan produktiviti produk koko,” katanya pada sidang media selepas melawat premis usahawan coklat tempatan, AOM Food Industries, di sini, semalam.

Tambahnya, masa depan industri koko bergantung kepada pengeluaran dan produktiviti produk koko, justeru, untuk mengekalkan keadaan itu, beberapa inisiatif perlu diambil termasuk menggalakkan penanaman koko dan pembabitan usahawan tempatan dalam segmen berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh.

Menurutnya, meskipun Malaysia adalah pemproses terbesar biji koko di pasaran Asia, tetapi pihaknya menyasarkan untuk mencatatkan pengisaran biji koko sehingga 185,000 tan tahun ini, berbanding 187,695, tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai kekuatan dan kapasiti untuk mengisar sehingga 400,000 tan biji koko dalam tempoh setahun, namun secara purata, negara hanya mampu mengisar kira-kira 200,000 tan sahaja dalam tempoh yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 5:47 AM