BERNAMA

Ipoh: Seorang pemburu maut selepas terkena tembakan ketika memburu bersama empat rakannya di kebun kelapa sawit dekat Jalong, Sungai Siput, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai Oi Boon Woo, 58, dipercayai maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan di kanan dada.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata siasatan awal mendapati lima sekawan itu ke ladang kelapa sawit milik persendirian untuk memburu babi hutan.

"Ketika kejadian rakan mangsa yang berusia 65 tahun ternampak babi hutan melintas lalu melepaskan tembakan.

"Semasa mencari haiwan yang ditembak itu, lelaki terbabit ternampak mangsa terbaring berlumuran darah dan disyaki sudah mati," katanya di sini, hari ini.

Hasnan berkata, menyedari rakannya itu mati, lelaki berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Jalong.

"Susulan itu polis merampas beberapa senjata termasuk senapang patah selain dua motosikal dan sebuah pacuan empat roda serta seekor babi hutan yang sudah mati.

"Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Keempat-empat rakan mangsa direman tujuh hari mulai Rabu hingga 25 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 4:40 PM