KEADAAN dapur kediaman mangsa. FOTO ihsan bomba
KEADAAN dapur kediaman mangsa. FOTO ihsan bomba
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Wanita melecur 60 peratus akibat disambar api selepas tong gas memasak mengalami kebocoran di tingkat enam Flat Taman Sri Bayu, Jalan Kampung Bukit, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 55 tahun itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.18 pagi.

"Ketika tiba di lokasi, didapati berlaku letupan akibat kebocoran gas di unit rumah berkenaan.

"Terdapat penghuni iaitu wanita berusia 55 tahun dan mangsa didapati melecur sehingga 60 peratus pada bahagian muka dan badannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaiful Arif berkata, bagaimanapun api berjaya dipadamkan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.

Katanya, difahamkan ketika kejadian, mangsa menyalakan dapur tanpa menyedari tong gas mengalami kebocoran.

"Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat pada jam 10 pagi," katanya.

Zaiful Arif berkata, difahamkan bahawa wanita terbabit adalah penyewa satu daripada bilik dalam unit rumah itu.

"Mangsa yang berasal dari Gerik, Perak bekerja sebagai pengawal keselamatan dan menghabiskan cuti di rumah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 12:13 PM