JAMALLDIN bersama ayam yang diternak di rumahnya. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
JAMALLDIN bersama ayam yang diternak di rumahnya. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Harga dedak ternakan yang naik mendadak mencetuskan idea bagi seorang penternak dengan menjadikan pokok ketum ayam sebagai ganti makanan ternakan.

Pesara kerajaan Jamalludin Mohd Isa, 59, yang menetap di Kampung Kuala Pah di sini, memberitahu dia menternak 250 ekor ayam kacukan kampung dan 115 ekor itik nila selain 14 ekor kambing di belakang rumahnya di sini.

Menurutnya, dia berdepan masalah utama apabila kos bahan makanan untuk ternakan meningkat mendadak sejak awal tahun ini.

"Ketika ini dedak berharga RM154 bagi satu guni seberat 50 kilogram (kg). Manakala dedak jagung berharga RM73 bagi satu guni 40 kg.

"Bagi kegunaan makanan ternakan, saya memerlukan 10 guni dedak dan empat guni jagung setiap bulan," katanya ketika ditemui semalam.

Justeru itu, bagi mengurangkan kebergantungan kepada dedak mahal ini, Jamalludin kini giat menanam pokok ketum ayam sebagai makanan alternatif bagi ternakannya.

Katanya, ketika ini 20 batang pokok ketum ayam ditanam tidak mencukupi berikutan ia sangat digemari haiwan ternakan terutama kambing.

"Daun ketum ayam lebih berkhasiat dan mempunyai protein lebih tinggi berbanding rumput napier malah pokok berkenaan mudah hidup.

"Hasil pemerhatian terhadap ayam yang diberi makan daun berkenaan mendapati ia lebih sihat sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada dedak.

"Malah jika ia juga sesuai diberi kepada ternakan ruminan yang memerlukan makanan berkhasiat untuk pembesaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 5:42 PM