FADLI (tengah) menunjukkan syabu dan wang tunai yang dirampas dalam sidang media di IPD Tawau. FOTO Norasikin Daineh
FADLI (tengah) menunjukkan syabu dan wang tunai yang dirampas dalam sidang media di IPD Tawau. FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


Tawau: Polis Tawau merampas dua kilogram syabu bernilai RM220,000 dan menahan lapan individu di belakang Pasar Tanjung, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lapan suspek terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki berusia antara 16 hingga 52 tahun itu ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, berdasarkan maklumat sepasukan polis menahan tiga wanita dalam tangkapan pertama.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang daripada wanita terbabit cuba mencampakkan beg plastik di kaki lima sebelum melarikan diri bersama dua rakannya.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga wanita itu ditahan dan hasil pemeriksaan terhadap bungkusan plastik itu menemui dadah jenis syabu yang dianggarkan sebanyak dua kilogram dengan harga pasaran RM220,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Fadil berkata, ekoran daripada tangkapan terbabit, polis turut merampas wang tunai RM30,000 hasil aktiviti pengedaran dadah dan lima lagi suspek dipercayai rakan suspek tangkapan pertama turut ditahan.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 2:46 PM