MAKIN ramai pereka muda berani mengetengahkan koleksi yang mencabar budaya konservatif Ghana.
MAKIN ramai pereka muda berani mengetengahkan koleksi yang mencabar budaya konservatif Ghana.
MINGGU Fesyen Accra menjadi satu daripada tiga acara fesyen utama di negara Afrika barat sepanjang Oktober setiap tahun.
MINGGU Fesyen Accra menjadi satu daripada tiga acara fesyen utama di negara Afrika barat sepanjang Oktober setiap tahun.
AFP

Alunan muzik lantang memenuhi dewan sambil peragawati gah melangkah di pentas peragaan di Minggu Fesyen Accra, Ghana, hujung minggu lalu.

Namun tumpuan utama bukan pada padanan skirt kulit berpinggang tinggi yang digayakan si peragawati, ia lebih kepada sesuatu yang penuh risiko iaitu blaus jarang dan sendat.

“Menunjukkan payudara! Itu bukan budaya Ghana!” ujar seorang wanita dalam khalayak kepada kumpulan rakannya.

Bintang realiti, Kim Kardashian dan penyanyi, Rihanna, mempopularkan gaya sebegini di negara mereka, tetapi di negara konservatif seperti Ghana, pereka Afrika hanya mampu menyimpan impian untuk memaparkan gaya seksi yang dianggap sebagai satu daripada cara membantu wanita muda mencabar status quo tradisional mereka.

“Semua sepatutnya dapat menzahirkan diri mereka dan bukan membenarkan diri ditindas dalam apa jua cara,” kata pereka berusia 29 tahun, Josefa Da Silva.

Pereka berambut biru itu mengetengahkan koleksi gaun labuh yang dibuat daripada kulit tiruan bersama perincian emas dan perak.

Josefa, anak kelahiran Cape Verde yang berpangkalan di Amerika Syarikat, tidak gentar melaungkan semangat feminisme menerusi rekaan busananya.

Awal tahun ini dia menjadi tumpuan media apabila meletakkan peragawati sindrom Down, Madeline Stuart di pembukaan pentas peragaan koleksinya.

“Rekaan saya lebih kepada futuristik. Saya tahu di sini konservatif manakala saya lebih kepada ‘high fashion’ atau fesyen moden,” katanya.

Pereka Cameroon, Irene Nuvi juga tampil yakin bergaya dengan pakaian singkat dan bangga dirinya selaku feminis.

Irena memaparkan rekaan koleksi Nuvi Creative Fashion Legacy di acara itu.

“Sudah tiba masanya wanita tidak lagi dinilai pada pakaiannya. Anda tidak boleh menilai seorang wanita semata-mata kerana dia memakai skirt pendek. Itu tidak menjadikannya seorang individu yang tiada ihsan dan tidak bertanggungjawab,” kata pereka berusia 36 tahun itu.

Sama seperti negara lain yang mengalami masalah ekonomi tidak stabil ketika ini, Ghana juga berdepan peningkatan ekonomi paling perlahan dalam tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, industri fesyennya masih bergerak pantas dan bertambah kukuh.

Minggu Fesyen Accra ialah satu daripada tiga acara utama fesyen yang berlangsung di negara Afrika barat sepanjang Oktober, sementara beberapa acara berkaitan turut diadakan sehingga hujung tahun ini.

Pereka Afrika Selatan, Tanya Kagnaguine mengambil inspirasi daripada bintang pop yang juga penggerak

idea feminisme, Beyonce dan ikon kemanusiaan, Nelson Mandela, dalam sasarannya membantu wanita mencari identiti tersendiri.

Seperti pereka lain, Tanya tidak gentar mempamerkan koleksi kontroversi dan dilihat tidak sesuai untuk wanita tempatan.

“Kadangkala perlu ada kejutan seperti ini. Tapi, saya mahu setiap individu berasa bebas untuk menentukan apa jua dalam kehidupannya.

“Lelaki boleh memakai apa saja yang mereka mahu, jadi mengapa wanita tidak boleh melakukan perkara sama?” katanya.

Penganjur Minggu Fesyen Accra, Nana Tamakloe mahukan acara itu menjadi platform untuk rekaan tempatan.

Jelasnya, memperkasakan wanita menerusi fesyen adalah perkara bonus.

“Sama ada ia melangkau sempadan budaya tempatan atau tidak, ia masih menjadi tanda tanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Seorang pereka Ghana, Yvonne Tawiah yang lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini tidak menafikan bahawa fesyen tempatan makin berubah.

“Kelas jahitan sebelum ini hanya untuk mereka yang tercicir dari sekolah. Kini makin ramai yang mempunyai ijazah universiti dalam bidang seni jahitan,” katanya.

Pereka veteran itu juga tidak menolak kemungkinan wujudnya gabungan lama dan baru dalam penggayaan fesyen wanita Ghana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 1:09 PM