IRAN (jersi putih)  ungguli Kumpulan A selepas pungut tiga mata.
IRAN (jersi putih) ungguli Kumpulan A selepas pungut tiga mata.
AFP

Doha: Impian China layak ke Piala Dunia 2018 terjejas kelmarin manakala Iran melakar kejutan sekali gus muncul antara pencabar utama Kumpulan A selepas mengejutkan Korea Selatan.

China kecundang 0-2 kepada Uzbekistan di Tashkent dengan negara Asia Tengah itu menyumbat dua gol pada babak kedua menerusi Marat Bikmaev dan Otabek Shukurov bagi meletakkan China di tangga tercorot kumpulan dengan hanya satu mata dan hampir pasti berdepan satu lagi kekecewaan Piala Dunia.

Uzbekistan mendahului kumpulan itu buat sementara waktu dengan sembilan mata daripada empat perlawanan namun dirampas kedudukan mereka tidak lama kemudian apabila Iran menundukkan Korea Selatan 1-0 di Tehran untuk mengumpul 10 mata.

China, yang melabur besar dalam bola sepak dan mengintai peluang membida Piala Dunia 2030, hanya sekali layak ke pusingan akhir kejohanan itu pada 2002 dan perlu meningkatkan permainan mereka di Tashkent untuk menghidupkan semula peluang.

Uzbekistan, yang tidak pernah layak ke Piala Dunia, membuka tirai jaringan menerusi Bikmaev pada minit ke-50 apabila penyerang Lokomotiv Tashkent itu merembat masuk selepas perancang utama Eldor Shomurodov mengucar-ngacirkan benteng China dengan hantaran cemerlang.

Namun ketika berbaki lima minit, Uzbekistan melengkapkan kutipan tiga mata selepas rembatan pemain gantian Shukurov terkena badan Zhang Chengdong sebelum menggolek masuk. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 10:47 AM