PEREIRO (tengah) bersaing dengan pemain Thailand, Theerathon Bunmathan (kanan) pada final Piala China di Nanning, hari ini. — FOTO AFP
PEREIRO (tengah) bersaing dengan pemain Thailand, Theerathon Bunmathan (kanan) pada final Piala China di Nanning, hari ini. — FOTO AFP
Reuters

URUGUAY membelasah Thailand dengan mudah 4-0 di Nanning, hari ini untuk mempertahankan kejuaraan Piala China ketika pertahanan veteran Diogo Godin muncul pemain paling banyak beraksi buat negaranya.

Godin mengetuai pasukan itu pada penampilan ke-126 untuk mengatasi rekod Maxi Pereira dalam senarai sepanjang zaman dan Uruguay tidak dicabar Thailand yang bergelut menangani fizikal mereka.

Matias Vecino memberikan skuad kendalian Oscar Tabarez gol pendahuluan selepas lima minit apabila dia menanduk masuk sepakan sudut Nicolas Lodeiro.

Gaston Pereiro menjadikan kedudukan 2-0 sejurus sebelum rehat apabila dia merembat masuk hantaran leret Cristhian Stuani dari sebelah kiri.

SHOMURODOV (kanan) berebut bola dengan pemain China, Hao Junmin (kiri) pada aksi penentuan tempat ketiga. — FOTO AFP
SHOMURODOV (kanan) berebut bola dengan pemain China, Hao Junmin (kiri) pada aksi penentuan tempat ketiga. — FOTO AFP

Stuani kemudiannya berada dalam senarai penjaring 12 minit selepas rehat apabila dia melonjak mengatasi benteng pertahanan Thailand untuk menanduk masuk hantaran silang Giorgian de Arrascaeta sebelum Maximiliano Gomez menambah gol keempat pada minit ke-88.

Terdahulu, nasib malang China berterusan ketika Fabio Cannavaro kalah aksi kendaliannya kali kedua berturut-turut sejak mengambil alih sebagai ketua jurulatih apabila tuan rumah kalah 0-1 di tangan Uzbekistan.

Penyokong China memprotes selepas melihat pasukan mereka kalah aksi pertama kepada Thailand, Khamis lalu dan terpaksa menyaksikan satu lagi persembahan mengecewakan pada aksi penentuan tempat ketiga.

Eldor Shomurodov menyumbat gol kemenangan buat anak buah Hector Cuper pada hujung babak pertama apabila dia menggelecek benteng pertahanan sebelum merembat melepasi penjaga gol Yan Junling.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:17 PM