Norasikin Daineh

DUA warga asing maut selepas Perodua Bezza dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kolam, Kota Kinabalu, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Wijaya Erwin, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga pemandu, Korpos Rayan Karim berusia lingkungan 20-an meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima laporan berlaku kemalangan di Jalan Kolam berhampiran lampu isyarat Bukit Padang membabitkan dua kenderaan.

“Siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beverly Hill dan sebaik tiba di lampu isyarat yang ketika itu hijau, pemandu meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun, tiba-tiba kenderaan dinaiki mangsa yang datang dari arah Beverly Hill melanggar lampu merah sehingga berlaku pertembungan dari arah depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akibat kejadian itu, George berkata, penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu yang dihantar ke HQE untuk mendapatkan rawatan meninggal dunia pada 5.55 pagi.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menghubungi balai polis trafik berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 11:58 AM