Soong (kiri) bertukar dokumen dengan Talaat (kanan)  sambil diperhatikan Wee  pada Majlis Pelancaran Aplikasi ParkAide di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, kelmarin.
Soong (kiri) bertukar dokumen dengan Talaat (kanan) sambil diperhatikan Wee pada Majlis Pelancaran Aplikasi ParkAide di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kuala Lumpur: Secure Parking Corporation Sdn Bhd, akan memperkenalkan pengaksesan perkhidmatan letak kereta, aplikasi ParkAide ke-110 Secure Parking di seluruh negara menjelang suku kedua tahun depan.

Pengarah Urusannya, Edward Poh berkata, setakat ini terdapat 20 tempat letak kereta yang dilengkapi sistem ParkAide dan ia adalah penyelesaian isu letak kereta dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Katanya, Secure Parking Corporation menjalin usaha sama dengan ParkAide (M) Sdn Bhd untuk memperkenalkan inisiatif ini yang pertama di Malaysia.

“Menerusi ParkAide, orang ramai tidak lagi perlu risau untuk mencari ruang tempat kereta dan mereka boleh terus membuat tempahan ruang yang ada menerusi aplikasi di telefon pintar tanpa tiket.

“Kami yakin aplikasi ini akan digunakan secara meluas pada masa akan datang dan lebih membanggakan ia dihasilkan oleh anak tempatan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi ParkAide di sini, kelmarin.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Pegawai Teknologi ParkAide, Jason Soong dan Pengerusi Secure Parking Malaysia Datuk Seri Talaat Hussain.

Poh berkata, memandangkan pihaknya turut mempunyai rangkaian di luar negara, aplikasi ParkAide ini juga akan dibawa dan diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, antara pasaran negara yang dijangka ditembusi tahun depan ialah Timur Tengah, Indonesia, Australia, Hong Kong, Singapura dan India.

Sementara itu, Soong berkata, aplikasi ParkAide bukan saja dicipta untuk mempertingkatkan kemudahan pemandu, tetapi juga termasuk pengendali tempat letak kereta kerana mereka dapat mengurangkan kos perbelanjaan modal sehingga sifar, pemasangan mudah, mesra alam dan pengecualian kos penyelenggaraan.

“Pengendali tidak perlu menanggung perbelanjaan modal tambahan untuk menyalurkan ParkAide ke operasi sedia ada mereka kerana ini adalah penyelesaian tanpa kos dan penyelenggaraan sifar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 10:29 AM