SESI meja bulat First Car, Big Deal anjuran Bosch bersama RinggitPlus dan Allianz dapat sambutan ramai.
SESI meja bulat First Car, Big Deal anjuran Bosch bersama RinggitPlus dan Allianz dapat sambutan ramai.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Orang ramai dinasihatkan mengambil kira jumlah kos pemilikan (TCO) agar tidak melebihi 20 peratus daripada pendapatan kasar bulanan masing-masing bagi sebarang pembelian kereta sama ada baru atau pun terpakai.

Pengarah RinggitPlus Liew Ooi Han berkata, perkara itu perlu dilihat dengan teliti bagi memastikan individu berkemampuan membeli kereta baru atau terpakai yang bersesuaian dengan jumlah pendapatan bulanan masing-masing.

TCO adalah jumlah membabitkan aspek seperti penurunan harga kereta, caj tol, tempat letak kereta dan petrol, cukai jalan serta insurans termasuk kos penyelenggaraan.

“Saya perlu ingatkan bahawa keupayaan membayar wang pendahuluan dan kemampuan membayar secara bulanan bukan bermaksud anda mampu memiliki kereta.

“Sebagai contoh, jika individu berkenaan mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM4,000, kami sarankan mereka mendapatkan kenderaan pada harga sekitar RM37,000 dengan mengambil kira TCO kira-kira RM800 sebulan,” katanya pada sesi meja bulat First Car, Big Deal di sini, semalam.

Pada masa ini, kereta adalah antara pembelian rakyat Malaysia namun keputusan membeli kereta sama ada baru atau terpakai dianggap menakutkan apabila dilihat daripada sudut seperti kos, kemampuan, perlindungan dan penyelenggaraan.

Sesi dianjurkan Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch) bersama laman perbandingan kewangan RinggitPlus dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz) bertujuan membincangkan pandangan mengenai faktor perancangan kewangan, perlindungan kenderaan dan penyelenggaraan kereta serta kos manfaat ketika membeli kereta pertama.

Pengurus Pemasaran Bosch Go Boon Wah berkata, penyelenggaraan kereta adalah faktor kos penting mengelakkan peningkatan TCO kenderaan.

Menurutnya, orang ramai perlu memilih alat ganti dan penyelenggaraan kereta yang sesuai dengan keupayaan serta kereta masing-masing sama ada melakukan sendiri penyelenggaraan bagi bahagian mudah kereta atau memilih alat ganti berjenama yang dapat mengurangkan kos penyelenggaraaan kepada 25 hingga 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 10:33 AM