LAM  melihat keadaan kedai fotostatnya yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kelochor.
LAM melihat keadaan kedai fotostatnya yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kelochor.

Kota Bharu: “Disebabkan bunyi wisel dan jeritan orang ramai mengenai api itulah yang buat saya terjaga. Jika tidak, tak tahulah apa akan berlaku kepada kami,” kata Lam See Wah, 45, mangsa kebakaran di Jalan Kelochor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, dua kedai termasuk kedai fotostat milik Lam dan dua rumah penduduk musnah selepas terbakar kira-kira 70 peratus.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Lam berkata, dia dan penduduk lain sedang tidur ketika itu apabila mendengar bunyi wisel yang ditiup kuat pengawal keselamatan bertugas di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Cheng, di sini.

“Saya terjaga dan terkejut apabila mengetahui berlaku kebakaran. Saya dan isteri, Tan Sin Eian, 44, segera mengejutkan jiran yang lain dan kami kemudiannya mengalihkan kenderaan ke tempat lebih selamat.

“Ketika itu saya tidak mengetahui status kedai fotostat saya lagi disebabkan tidak dapat menghampirinya kerana dihalang kenderaan bomba yang terbabit dalam kerja memadam api,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selesai kerja pemadaman api pada jam 7.03 pagi, Lam menghampiri kedai fotostatnya dan terkejut melihat kedai itu yang diusahakan sejak 10 tahun lalu musnah akibat kebakaran terbabit.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan semua peralatan di dalam kedai tidak dapat diselamatkan termasuk tujuh mesin fotostat dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Ismadi Mohamad Taib berkata, seramai 16 anggota dan tiga jentera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.08 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 8:13 AM