Sepang: Tahap keyakinan pemandu Red Bull Max Verstappen (gambar, kanan) cukup tinggi untuk melakukan kejutan dengan mengatasi dua jentera Mercedes AMG PETRONAS pada perlumbaan sebenar hari ini selepas mencatat masa ketiga terpantas sesi kelayakan semalam.

Jelas Verstappen, segala-galanya cukup positif selepas berakhir Grand Prix (GP) Singapura dua minggu lalu yang menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Verstappen yang muncul juara pada GP Sepanyol sekali gus menjadi pelumba termuda memenangi perlumbaan F1 berkata, dia hanya mahu melakukan yang terbaik perlumbaan hari ini.

“Minggu ini segala-galanya cukup positif bagi saya.

“Kami melakukan beberapa perubahan selepas berakhir GP Singapura dan ia nampaknya membuahkan hasil.

“Saya rasa kami sudah menemui pelarasan yang terbaik hari ini (semalam) dan sudah tentu amat berbangga kerana berjaya layak di belakang dua jentera Mercedes,” katanya merujuk kepada Lewis Hamilton dan Nico Rosberg yang mendominasi petak satu dua.

Ditanya sejauh mana tahap keyakinannya ketika ini, Verstappen berkata dia sememangnya sentiasa yakin kepada dirinya sendiri.

“Saya sentiasa mempunyai keyakinan walaupun jika terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:12 AM