PENG Soon (atas) dan Liu Ying berdepan cabaran Bodin-Savitree di separuh akhir.
PENG Soon (atas) dan Liu Ying berdepan cabaran Bodin-Savitree di separuh akhir.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meneruskan rentak kemenangan untuk mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Masters Thailand ketika cabaran Goh V Shem-Tan Wee Kiong terkandas di tangan beregu Indonesia.

Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh hanya memerlukan 35 minit untuk menamatkan cabaran beregu tuan rumah Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai 21-15, 21-16 di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Menanti mereka pada aksi separuh akhir hari ini satu lagi beregu tuan rumah Bodin Issara-Savitree Amitrapai yang menundukkan pasangan Indonesia Irfan Fadhilah-Weni Anggtaini 21-14 21-9 dalam 32 minit.

“Kami bermain seperti biasa. Kombinasi antara saya dan Peng Soon juga semakin baik dari hari ke hari,” katanya.

Mengulas pertemuan menentang Bodin Issara-Savitree Amitrapai, Liu Ying berkata dia tidak mahu terlalu memikirkan kehebatan lawan.

Apa yang penting katanya, mereka perlu bermain pada aksi sebenar agar dapat mengawal perlawanan.

Sementara itu, impian Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk mara tidak kesampaian apabila tewas kepada pilihan pertama dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam pertarungan tiga set 21-19, 16-21, 13-21 dalam tempoh 46 minit.

Turut tewas, beregu negara yang kini bergerak secara profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong apabila tunduk kepada pilihan kedua dari Korea Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 10-21, 12- 21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 8:24 AM