Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Mekanik berusia 31 tahun ditahan Isnin lalu kerana disyaki merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun di Taman Bandar Baru Kampar, Kampar dekat sini pada awal September lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, suspek diberkas susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang mendakwa dirogol oleh lelaki berkenaan di rumah sewa suspek yang juga teman lelaki mangsa.

Menurutnya, mangsa mendakwa pada 1 September lalu jam 10.15 malam keluar makan malam bersama suspek dan seorang rakan wanitanya di kawasan Bandar Baru Kampar.

"Selepas makan teman lelaki mangsa (suspek) mengajaknya pergi ke rumah sewa di Taman Bandar Baru Barat Kampar dan mereka masuk ke bilik serta menonton televisyen.

"Suspek kemudian minta untuk melakukan hubungan seks tetapi mangsa tidak mahu dan suspek terus memeluk mangsa sebelum pelajar terbabit cuba menolak tetapi teman lelakinya itu masih terus memeluk badan dengan kuat," katanya ketika ditemui di perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.

Kong Soon berkata, suspek kemudian bertindak mencium mulut dan membuka baju dalam serta seluar mangsa dengan cara kasar sebelum seterusnya merogol mangsa.

"Selepas kejadian itu, pada 3.30 pagi mangsa dihantar balik oleh suspek dan mangsa kemudian membuat laporan polis pada Isnin lalu kerana merasa takut dan trauma.

"Susulan laporan yang dibuat, pada hari sama jam 6.15 petang suspek ditahan di Balai Polis Kampar selepas dipanggil untuk siasatan," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari hingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:50 PM