Zulkifli (kiri) menggalakkan kolaborasi di antara agensi agama dan penduduk kampung dalam bergotong-royong membersihkan rumah ibadat. FOTO ihsan Yadim
Zulkifli (kiri) menggalakkan kolaborasi di antara agensi agama dan penduduk kampung dalam bergotong-royong membersihkan rumah ibadat. FOTO ihsan Yadim
Rafiqah Dahali


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggalakkan kolaborasi di antara agensi agama dan penduduk kampung bagi membersihkan rumah ibadat.

Katanya, konsep kolaborasi dalam aktiviti kemasyarakatan ini harus diamalkan mana-mana agensi atau pertubuhan agama bersama komuniti sesebuah kampung dalam usaha mencuci masjid.

"Konsep kolaborasi dan pertemuan seperti ini adalah sesuatu yang baik. Sebab itu saya nak bila saya datang dalam majlis, kita boleh buat tiga atau empat perkara dalam satu untuk cuci masjid dan ini adalah kolaborasi musa'adah.

"Tambahan lagi ini akan merapatkan saf (bekerjasama) antara agensi agama dan orang kampung," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap dalam perasmian program Cuci-Cuci Masjid Kampung Layang-Layangan di Masjid Jamek Kampung Layang Layangan, Labuan, hari ini.

Dalam program terbabit, beliau turut menjelaskan terdapat peruntukan khas untuk masjis yang memerlukan bantuan dana di bawah RM20,000.

"Kalau ada masjid yang perlukan bantuan RM20,000 ke bawah, ada peruntukan untuk diluluskan dengan pantas tapi harus dilakukan ikut saluran," katanya.

Sementara itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga asnaf yang dikenal pasti terjejas dengan penularan Covid-19 di kawasan terbabit selain melakukan ziarah ke kediaman di sekitar masjid berkenaan.

Dalam pada itu, program anjuran Program Ikon Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan dan Masjid Jamek Kampung Layang- Layangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 11:39 AM