ANTARA wakil industri, ketua jabatan, pensyarah dan pelajar yang memeriahkan majlis pelancaran dan penyerahan watikah secara dalam talian.
ANTARA wakil industri, ketua jabatan, pensyarah dan pelajar yang memeriahkan majlis pelancaran dan penyerahan watikah secara dalam talian.
Samsudin Oli Mohamed
rencana@hmetro.com.my


UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) melakar sejarah tersendiri dengan pelancaran School of Hard Knocks (SoHK) dan penyerahan watikah pelantikan Fakulti Industri yang dikendalikan Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) universiti itu.

Pelancaran SoHK itu antara inisiatif yang diambil bagi menyediakan graduan memiliki kemahiran industri spesifik dalam pelbagai disiplin ilmu.

Sesungguhnya perkara ini adalah keperluan pembangunan modal insan negara merangkumi keupayaan berfikir aras tinggi, pegangan yang teguh kepada nilai, etika dan elemen kerohanian.

Diadakan secara dalam talian, majlis itu disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dr Noraini dalam ucapannya berkata, pujian perlu diberikan kepada UUM kerana walaupun dalam cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19, pihak CUIC-UUM berjaya melakukan perubahan drastik seiring perubahan teknik pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, penyesuaian kepada norma baharu dan perkembangan senario global ini menunjukkan ekosistem pendidikan perlu berubah secara holistik bagi memastikan kebolehpasaran graduan yang lestari dalam menghasilkan tenaga mahir lebih kompeten.

"UUM mengambil tindakan betul dengan mendedahkan pelajarnya kepada empat elemen utama untuk dikuasai graduan iaitu pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti dunia baharu.

"Semua elemen ini perlu digilap dalam setiap aspek terkini kehidupan mahasiswa sama ada bersemuka atau secara maya supaya pelajar berkebolehan untuk terus bersaing dan mempunyai daya tahan yang tinggi," katanya.

Menurut Dr Noraini, pihak kementerian akan membantu pelajar melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau Penjana KPT-CAP bagi menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat pandemik Covid-19.

"Graduan yang terpilih itu akan mengikuti program di bawah Penjana KPT-CAP dan berpeluang untuk meningkatkan kemahiran serta mendapat penempatan pekerjaan selepas tamat program nanti.

"Menerusi kaedah yang dilaksanakan UUM ini pastinya membolehkan pelajarnya dapat mengembangkan bakat dan memenuhi peluang pekerjaan nanti," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, inisiatif penubuhan SoHK ini dilihat menjadi penanda aras untuk pembabitan universiti awam (UA) dengan pihak industri, khususnya dari segi kesiapsiagaan pelajar sebelum menempuh alam kerjaya yang sebenar.

"SoHK ini dilihat sebagai satu medium yang memberi nilai tambah dalam memperkukuhkan pengetahuan sedia ada dalam kalangan pelajar dari program akademik UUM.

"Pelajar yang terbabit akan diberi peluang untuk aktif dalam segala bentuk cara kerja di organisasi terpilih, di mana pelajar ini akan menerima latihan dan diberi gelaran sebagai 'padawan.'

"Mereka ini seterusnya akan menerima sijil pengiktirafan melalui organisasi yang disertai nanti," katanya.

Untuk fasa pertama, seramai 25 pelajar dari pelbagai latar belakang program pengajian ditempatkan di ViTrox Corporation Bhd dan dilatih dengan kemahiran spesifik industri oleh pakar industri yang dilantik.

"Program ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan penempatan praktikum dan pekerjaan, di samping menyokong agenda kebolehpasaran siswazah oleh UUM dan KPT sambil membantu membangunkan tenaga kerja yang berdaya tahan di era dunia baharu ini.

"Kaedah baharu kerjasama antara UUM dan industri ini pastinya dapat meningkat serta membentuk semula paradigma pelajar untuk dunia baharu," tambahnya.

Katanya, secara tidak langsung program ini menyediakan platform bagi pelajar UUM untuk terbabit secara aktif dengan industri seawal semester lima dan membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan penempatan praktikal serta pekerjaan pada masa depan.

Bagi 'padawan' program, Hemaviknesh Supramaniam pelajar semester enam dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Scimpa) mengakui penyertaannya dalam SoHK adalah untuk memperkasakan kemahiran sedia ada, selain ingin mendapatkan pendedahan sebenar mengenai dunia pekerjaan daripada pihak industri.

"Saya memperoleh banyak ilmu daripada pihak Vitrox yang saya sertai.

"Justeru, saya menggalakkan lebih ramai rakan di kampus ini untuk turut menyertai SoHK," katanya.

Pada majlis itu, 10 industri menerima watikah pelantikan sebagai Fakulti Industri iaitu TalentCorp Malaysia Berhad, Lembaga Tabung Haji, PETRONAS Berhad, Maybank Berhad, Microsoft Malaysia Sdn Bhd, PKT Logistics Group Sdn Bhd, Vitrox Corporation Berhad, NTV7, Zurich Takaful Malaysia Berhad dan KPMG Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:36 AM